Utusan Borneo (Sarawak)

40-45 PERATUS RAKYAT SARAWAK ALAMI OBESITI

-

KUCHING: Peratusan rakyat Sarawak yang mengalami berat badan berlebihan ketika ini sangat tinggi iaitu 40-45 peratus.

Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Sarawak Dr William Voon berkata ramai rakyat Sarawak mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 23.

“Kalau melihat jumlah populasi Sarawak (2.7 juta), 40 hingga 45 peratus mengalami berat badan berlebihan iaitu BMI melebihi 23.

“Malah dalam banyak kaji selidik dan program saringan kesihatan yang kami buat di beberapa institusi di seluruh negeri, insiden berat badan berlebihan setinggi 60 peratus malah ada yang obesiti dengan BMI 30 ke atas,” katanya kepada Utusan Borneo.

Dr Voon berkata lebih mengejutka­n program saringan kesihatan bagi mengesan tanda-tanda awal diabetes di kampung-kampung di negeri ini, mendapati jumlah penduduk mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti sangat tinggi.

“Amat mengejutka­n insiden ini berlaku di kampung kerana kita berpendapa­t di kampung perkara seperti ini adalah rendah tetapi ia tidak begitu, sangat tinggi.

“Malah jumlah pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi juga tinggi di kampung atau kawasan luar bandar,” katanya.

Katanya bagi Malaysia bacaan BMI bawah 18.5 adalah kurang berat badan, antara 18.5-22.9 berat sihat, 23-27.4 lebih berat badan dan 27.5 dan ke atas, gemuk.

Dalam perkembang­an sama, Dr Voon berkata walaupun ramai yang mengetahui berat badan berlebihan dan obesiti membawa kepada penyakit lain lebih berbahaya seperti diabetes dan tekanan darah tinggi tetapi mereka enggan mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya.

Menurutnya berat badan berlebihan boleh membawa kepada diabetes kerana tisu-tisu lemak melemahkan penghasila­n insulin oleh pankreas.

“Sebab itu kita selalu menggalakk­an orang ramai bersenam secara konsisten dan mengawal diet sihat agar paras gula dalam darah akan lebih baik serta mempunyai jantung lebih kuat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia