Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada wang alasan ibu tunggal terbabit dalam pelacuran

-

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal yang didakwa melakukan persediaan untuk melacurkan diri, memberi alasan ketiadaan wang sebagai punca beliau berbuat demikian.

Wanita berusia 30 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini semalam, atas kesalahan menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki di bilik 507, sebuah hotel di sini pada jam 11.45 malam, 17 Sept lalu.

Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun, didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Takzir 2001, menyebabka­nnya berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan manamana kombinasi hukuman itu.

Ketika merayu diringanka­n hukuman, ibu tunggal yang memakai baju kurung dan bertudung berwarna biru itu turut menyatakan beliau adalah yatim piatu dan ekoran hubungan tidak baik dengan enam lagi adik-beradiknya menyebabka­nnya bertekad melakukan kesalahan itu demi mendapatka­n wang.

“Saya tidak suka menyusahka­n keluarga. Adik-beradik telah membawa haluan masing-masing dan biasanya saya hanya bergantung dengan rakan-rakan,” katanya yang turut memaklumka­n bahawa anaknya dijaga oleh kakaknya sejak bercerai tujuh tahun lalu.

Sepanjang prosiding, Hakim Syarie Rosli Harun beberapa kali bertanya kepada tertuduh adakah beliau akan kelaparan jika tidak melakukan kesalahan itu, tertuduh menjawap: ”Ya.”

Hakim Syarie: “Adakah kamu mempunyai pekerjaan?”

Tertuduh: “Ya, Kadangkala sebagai pekerja sambilan di pasar raya dan ada juga canting batik dekat kawasan rumah di Kota Bharu, Kelantan. Gaji saya tidak seberapa”

Hakim Syarie: “Sebab apa kamu boleh jadi (lakukan kesalahan) pada hari kejadian? Biasa ke buat kerja seperti ini?”

Tertuduh: “Tidak, sebab masa itu (hari kejadian) saya perlukan duit untuk anak saya.”

Berdasarka­n fakta kes, ketika tangkapan tertuduh mempunyai wang tunai sebanyak RM750 namun mendakwa ia bukan miliknya, sebaliknya wang untuk membeli keropok di Kuala Terengganu setelah dikirim oleh rakan-rakan.

Sementara itu, Pendakwa Syarie Khasmizan Abdullah berkata ketika tangkapan itu, tertuduh mengaku menjalanka­n aktiviti seks dengan bayaran antara RM300 hingga RM1,000 semalam.

“Matlamat tidak menghalalk­an cara. Saya pohon agar mahkamah memberi hukuman berat ke atas tertuduh, agar menjadi pengajaran dan kegerunan kepada semua pihak serta mengekang masalah aktiviti pelacuran yang mampu membawa kehancuran rumah tangga, penyebaran penyakit dan gejala sosial,” katanya.

Hakim Syarie Rosli menetapkan Khamis ini untuk memutuskan hukuman ke atas tertuduh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia