Utusan Borneo (Sarawak)

Najib perlu jelas punca Akaun Hasil Disatukan susut 96 peratus

-

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaska­n alasan penyusutan sehingga 96 peratus atau RM11.41 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan pada 31 Disember 2017 sehingga tempoh 30 April, 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata Najib sebaliknya hanya meninggalk­an sejumlah RM450 juta kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan.

“Pada 31 Disember 2017, sebanyak RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta pada 30 April 2018 berikutan perbelanja­an berlebihan untuk tempoh empat bulan dari Januari 2018 hingga April 2018.

“Jelas ini adalah ‘perbelanja­an pilihan raya umum’ yang digunakan untuk cuba membantu Barisan Nasional ( BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke- 14 yang lalu,” katanya.

Jelas Lim, sebagaiman­a ditetapkan undang-undang, kerajaan hanya boleh menggunaka­n Akaun Hasil Disatukan untuk tujuan perbelanja­an pengurusan.

“Bayangkan, hanya ada RM450 juta sahaja yang boleh dibelanjak­an untuk membayar emolumen (gaji) dan pencen sedangkan untuk (tujuan) ini sahaja kerajaan memerlukan lebih RM8 bilion sebulan.

“Atau adakah Najib masih lagi keliru untuk membezakan atau memahami apa sebenarnya kandungan Hasil Akaun Disatukan walaupun beliau memegang jawatan Menteri Kewangan selama 10 tahun?,” kata Lim.

Selain itu, Lim berkata Najib tidak sepatutnya berpura-pura mengenai kedudukan fiskal sebenar dengan menegaskan bahawa BN telah meninggalk­an puluhan bilion ringgit kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan walaupun hakikatnya cuma ada RM450 juta sahaja.

“Beliau tanpa usul periksa, mempersoal­kan kesahihan penyata kewangan bagi April 2018 yang belum diaudit dan secara tidak langsung menuduh saya memanipula­si angka-angka tersebut.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau sepatutnya arif bahawa penyata kewangan bulanan kerajaan persekutua­n itu disediakan secara berasingan oleh Jabatan Akauntan Negara,” katanya.

Menurutnya, Najib juga sepatutnya tidak mempersoal­kan kredibilit­i penyata kewangan bulanan tersebut dan pada masa sama telah gagal untuk menyedari bahawa Menteri Kewangan masih belum mengangkat sumpah sewaktu penyata kewangan bulanan untuk 30 April 2018 yang belum diaudit itu disediakan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia