Utusan Borneo (Sarawak)

IPCMC bantu pastikan keadilan buat polis, orang awam: Alan

-

MIRI: Senator Alan Ling Sie Kiong sangat mengalu-alukan penubuhan Suruhanjay­a Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) kerana ia akan membantu memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak polis dan orang awam.

Beliau berkata, langkah itu juga akan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.

“IPCMC adalah langkah pertama dalam menangani isu-isu disiplin dan integriti kuasa.

“Ia akan membantu mengatasi persepsi negatif orang ramai bahawa polis adalah ‘ samseng berlesen’ yang mengambil undang-undang dengan tangan sendiri,” jelas Alan kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Alan, di bawah IPCMC ini, kelakuan anggota polis akan dipantau dengan teliti dan boleh didakwa jika terdapat salah laku atau salah guna kuasa.

“Saya telah melakukan tinjauan terhadap aduan orang ramai terhadap pihak polis, tetapi selain laporan polis yang dibuat, bukti atau dakwaan bagi menuntut keadilan, yang ditinggalk­an oleh bekas-bekas mangsa ini amat sedikit, terutama dalam kes penyalahgu­naan kuasa,” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak senario di mana ‘polis menyiasat polis’ yang telah memberikan tekanan kepada pegawai penyiasat (IO) yang cukup berani untuk membuka kes terhadap rakan sekerja dan pegawai atasannya.

“Sebagai seorang peguam, saya sendiri turut serta memperjuan­gkan penubuhan IPCMC ini dan badan pengawasan polis ini pertama kali dicadangka­n Suruhanjay­a Siasatan Diraja (RCI) untuk memperbaik­i kembali integriti kepolisan pada 2005.

“Jenayah, terutama dadah mesti dihapuskan dan pasukan polis yang ‘bersih’ amat diperlukan untuk melaksanak­an tugas ini dengan berkesan dan cekap,” katanya sam- bil menambah, penubuhan IPCMC juga merupakan salah satu ikrar Pakatan Harapan ( PH) dalam manifeston­ya untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Alan yang juga Setiausaha PH dan Setiausaha DAP Sarawak, memberitah­u demikian ketika memberi maklum balas terhadap laporan bahawa kabinet telah bersetuju untuk membentuk IPCMC yang lama ditunggu-tunggu sebagai badan yang bebas dan holistik.

Beliau berkata, badan disiplin dalaman pasukan itu di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tidak mencukupi untuk menghalang penyalahgu­naan kuasa oleh pegawai polis.

“Selalunya tidak (berkesan), pegawai yang tidak bertanggun­gjawab itu hanya ‘dibiarkan’ dengan amaran atau dipindahka­n.

“Ini tidak menyelesai­kan masalah di peringkat akar sebaliknya ia seperti menyorok sampah yang disapu di bawah permaidani.

“Justeru IPCMC perlu bersedia dengan kuasa mendakwa untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang demi kepentinga­n keadilan,” katanya.

Mengenai komposisi IPCMC beliau menambah kata, ia mesti terdiri daripada tokohtokoh yang sangat berkaliber dan dihormati daripada pelbagai sektor dan latar belakang.

Paling penting, ia mesti telus dalam perlakuan ‘pembersiha­n’ dalam pasukan polis.

“Bersama- samalah kita akan berusaha mencapai status sebuah pasukan polis bertaraf dunia, yang tidak melebihi undang-undang dan dihormati oleh semua.

“Ini akan menjadi sangat baik untuk negara kita dalam semua aspek, khususnya dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini,” katanya.

 ??  ?? PENTING: Alan sokong penubuhan IPCMC yang amat dinantikan rakyat Malaysia.
PENTING: Alan sokong penubuhan IPCMC yang amat dinantikan rakyat Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia