Utusan Borneo (Sarawak)

ABIM sokong tindakan DBKU kuatkuasak­an Zon Bebas Asap Rokok

-

KUCHING: Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM) Sarawak menyokong penuh tindakan Dewan Bandaraya Kuching Utara ( DBKU) menguatkua­sakan Zon Bebas Asap Rokok di semua premis makanan di bawah seliaannya, mulai Januari tahun depan.

“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang peduli dan prihatin dengan kesejahter­aan rakyat di Sarawak, kami berpandang­an sudah tiba waktunya kerajaan dan pihak berwajib bertindak tegas dalam menangani permasalah­an asap rokok di tempat awam lebih-lebih lagi di premis makanan, restoran dan kedai makan,” kata Naib Yang Dipertua 1 ABIM Sarawak Mohamad Rahmat Jamali menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, tindakan merokok di tempat awam telah meragut hak orang ramai untuk mendapatka­n udara segar di samping berpotensi menjejaska­n kesihatan orang lain akibat terhidu hembusan asap rokok yang berbahaya.

Malah, katanya merokok di tempat awam bukan sekadar suatu gangguan terhadap kesihatan khalayak, tetapi juga menjadi petanda kurangnya adab dalam kalangan masyarakat kita.

“Oleh itu, kami menyokong penuh cadangan kompaun serta-merta terhadap perokok yang melanggar peraturan.

“Sebenarnya, orang yang mempunyai hemah dan ‘kewarasan’ tidak akan tergamak merokok di depan khalayak.

“Justeru tindakan tegas seperti kompaun serta-merta diharap dapat mendidik mereka menjadi warganegar­a yang lebih ‘ waras’ dan bertimbang rasa,” katanya.

Mohamad Rahmat menambah, di peringkat ABIM Sarawak sendiri, memang menjadikan semua premis dan institusi di bawah seliaan ABIM termasuk institusi pendidikan TASKI ABIM bebas asap rokok sepenuhnya.

Pada masa sama, katanya pelajar TASKI dan para belia ABIM juga sentiasa diberi kesedaran akan bahaya rokok termasuk rokok elektronik atau vape.

“Demi membentuk masyarakat yang sihat dan beradab, besarlah harapan kami untuk melihat negeri yang dicintai ini sepenuhnya bebas asap rokok menjelang tahun 2045 sebagaiman­a yang disasarkan oleh negara,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia