Utusan Borneo (Sarawak)

Belum ada petunjuk siapa bekal ‘arak beracun’: Polis

-

SHAH ALAM: Polis Selangor masih belum dapat mengenal pasti pembekal arak yang mengorbank­an 24 individu di negeri itu sejak kejadian dilaporkan pada 17 Sept lalu.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini meningkatk­an kerjasama dengan kementeria­n dan agensi berkaitan seperti Kementeria­n Kesihatan dan Jabatan Kastam bagi memeriksa premis yang disyaki menjual arak terbabit.

“Selain itu, kita kena sahkan kesahihann­ya sama ada (arak) tulen atau diciplak. Arak-arak ini kebanyakan­nya tidak ada label kastam.

“Kita juga masih menyiasat siapa pembekal arak- arak ini dan sama ada ia datang daripada sumber yang sama. Setakat ini kita masih belum ada sebarang petunjuk mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpuna­n bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan dilakukan menurut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kematian secara cuai.

Mazlan berkata, setakat ini, pihaknya telah menahan 15 peniaga dan pekerja premis menjual arak terbabit merangkumi lapan warga tempatan serta tujuh warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 30an menerusi 17 serbuan di Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh, Kajang dan Klang Selatan.

Katanya, daripada serbuan itu, sebanyak 1,480 botol arak dan 1,670 tin bir pelbagai jenama telah dirampas.

“Jumlah kematian sehingga kini kekal 24 orang di Selangor, 17 masih dirawat dan 17 lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Mengenai laporan bedah siasat mangsa yang maut, kita masih belum menerima laporan rasmi daripada hospital dan Jabatan Kimia,” katanya.

Sejak 17 September lepas, lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan arak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia