Utusan Borneo (Sarawak)

Pejuang lagu irama Malaysia Pak Ngah meninggal dunia

-

KUALA LUMPUR: Pejuang lagu Irama Malaysia yang juga komposer terkenal tanah air, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah, meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada jam 3.15 petang semalam.

Perkara itu disahkan oleh sumber terdekat daripada Pak Ngah Production, Abdul Rahman Mahadi ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

“Pak Ngah bertolak ke Batam pada Jumaat lepas atas urusan kerja dan Allahyarha­m ada mengadu tidak sedap badan pada malam Maghrib pada hari yang sama dan kemudian dihantar ke hospital.

“Setelah berada di sana, Allahyarha­m disahkan mempunyai kegagalan jantung dan kemudianny­a dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bermula Jumaat hingga semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, semasa dalam penerbanga­n balik, keadaan Pak Ngah sudah tidak stabil dan diarahkan oleh pasukan perubatan untuk berpatah balik ke Batam.

“Sepatutnya (saya) ambil beliau hari ini (semalam) untuk hantar ke Hospital Tawakal KPJ, Kuala Lumpur, tetapi dimaklumka­n beliau sudah tiada,” katanya lagi.

Bernama difahamkan jenazah akan dibawa dari Batam melalui feri pada jam 8 pagi ini dan akan dikebumika­n berhampira­n kediamanny­a di Setapak di sini.

Pak Ngah meninggalk­an seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan seorang anak lelaki dan perempuan.

Nama Pak Ngah sudah tidak asing lagi dalam dunia hiburan terutama melalui penciptaan lagulagu Irama Malaysia dan pernah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandi­ngkan dalam Anugerah Juara Lagu 1999. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia