Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Mexico berkas seorang suspek kes bunuh wartawan

- — Bernama

MEXICO CITY: Pihak berkuasa telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan wartawan Mario Gomez di negeri Chiapas yang terletak di tenggara Mexico.

Menurut seorang pendakwa Chiapas, Luis Alberto Sanchez, suspek diberkas semasa siasatan ke atas kes pembunuhan Gomez, yang maut ditembak pada Jumaat di perbandara­n Yajalon.

“Seorang suspek lelaki telah ditahan dan dalam tempoh beberapa jam akan datang, mungkin terdapat beberapa lagi tangkapan berhubung insiden tragik ini,” menurut kenyataan ringkas pejabat pendakwaan.

Gomez, 40, telah berkecimpu­ng dalam kerjaya sebagai wartawan lebih sedekad.

Beliau bertugas sebagai korespoden akhbar El Heraldo de Chiapas di Yajalon, yang terletak di kawasan pergununga­n di utara Chiapas.

Menurut laporan media tempatan, Gomez membuat liputan berhubung isu rasuah, pembunuhan dan aduan sivil di Yajalon, yang merupakan kediaman bagi penduduk pribumi Tzeltal.

Gomez menghembus­kan nafas akhir di sebuah hospital sejurus selepas ditembak oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan enam das tembakan dari sebuah motosikal di luar rumah mangsa, kata pendakwa itu.

“Kami telah mengenal pasti bahawa pembunuhan beliau mempunyai kaitan dengan kerjayanya sebagai seorang wartawan,” kata Sanchez yang juga pendakwa dalam kes homisid.

Menurut El Heraldo de Chiapas, suspek yang ditahan adalah seorang penyeludup dadah di Yajalon yang menunggang motosikal untuk bergerak ke kawasan sekitar.

Kementeria­n Dalam Negeri Mexico telah mencatat sejumlah 139 kes homisid membabitka­n wartawan di pelbagai negeri di seluruh negara itu dari 2001 hingga bulan Jun tahun ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia