Utusan Borneo (Sarawak)

MLC terima sumbangan RM10,000 martabatka­n bahasa Murut

-

TENOM: Pusat Perkembang­an Bahasa Murut (MLC) mendapat suntikan semangat dalam misi memartabat­kan bahasa Murut apabila Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Ewon Benedick menyumbang RM10,000 untuk membantu MLC melaksanak­an kelas tadika Murut.

Sambil berterima kasih kepada Ewon, Pengerusi MLC Tajudin Tawid berkata impian MLC untuk memulakan kelas Tadika Bahasa Murut di Kampung Bunut tahun depan kini bakal menjadi kenyataan.

Beliau berkata, buat masa ini, MLC dalam proses menyediaka­n kemudahan termasuk bangunan dan bahan pengajaran kelas bahasa Murut yang bertujuan mengekalka­n bahasa itu agar tidak hilang ditelan zaman.

“Sekarang ini, kita sudah ada bangunan sendiri khas untuk melaksanak­an Kelas Tadika Bahasa Murut dan saya berharap sumbangan sejumlah RM10,000 daripada Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Ewon Benedick dapat membantu merealisas­ikan impian kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan sumbangan untuk MLC di kediaman Senator Datuk Dr Lucas Umbul di sini.

Tajudin berkata buat permulaan pihaknya hanya mengambil 20 kanak-kanak untuk mengikuti kelas tadika Murut itu.

“Oleh kerana kelas ini bukan pembelajar­an berasaskan sekolah tetapi lebih kepada pengekalan bahasa ibunda, maka kita tiada had umur kerana kita faham bahasa Murut semakin hilang... orang tidak lagi bertutur dalam bahasa Murut.

“Sebab itu, pihak kami terpanggil merintis jalan untuk membuka kelas tadika Murut, sekali gus mengekalka­n bahasa Murut dan menggalakk­an generasi muda bertutur dalam bahasa ibunda,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia