Utusan Borneo (Sarawak)

Roket Ariane 5 berlepas buat kali ke-100

-

PARIS: Sebuah roket buatan Eropah telah berlepas dari French Guiana buat kali ke-100, dalam satu pencapaian simbolik bagi syarikat yang membuatnya ketika ia semakin menerima tekanan daripada program SpaceX milik Elon Musk.

Pesawat angkasa Ariane 5 berlepas dari tapak pelancaran Caribbean berkenaan kelmarin pada jam 19.38 ( waktu tempatan), untuk membawa dua satelit telekom ke angkasa lepas.

Dalam perkhidmat­an selama lebih dua dekad dan berupaya untuk membawa muatan berat ke langit, roket Ariane 5 telah menjadi jentera kerja pelancaran angkasa Eropah di bawah bimbingan Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Namun ia akan diganti tidak lama lagi dengan model yang lebih moden, roket Ariane 6, yang dianggarka­n 40 peratus lebih murah untuk dibuat.

Ini sebahagian­nya sebagai respons kepada ketibaan SpaceX ke dalam dunia penerbanga­n angkasa komersil, dengan roket Falcon 9 yang dapat diguna semula dan mempunyai potensi untuk mengatasi program saingan.

SpaceX sudah memintas syarikat pembuatan di Eropah, Arianespac­e, dari segi jumlah pelancaran selama dua tahun berturut-turut.

“Kami menghadapi persaingan yang luar biasa,” kata ketua Arianespac­e, Stephane Israel, kepada AFP.

Sejak ia pertama kali dilancarka­n pada 1996, roket Ariane 5 sudah meletakkan 205 satelit ke angkasa lepas termasuk sistem GPS Eropah, Galileo. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia