Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan kerajaan boleh saman individu atas tuduhan memfitnah disambut baik

-

KUCHING: Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutua­n baru-baru ini dengan memutuskan kerajaan negeri dan persekutua­n boleh menyaman manamana individu atas tuduhan memfitnah.

“Ia keputusan Mahkamah Persekutua­n. Saya tidak mempunyai maklumat lengkap tentangnya. Mahkamah telah membuat keputusan.. jadi kita terpaksa menerimany­a.

“Saya percaya kerajaan, mana- mana individu atau organisasi termasuk kerajaan, jika difitnah oleh individu atau organisasi berhak menyaman kerana kerajaan dilihat sebagai sebuah entiti seperti organisasi, seperti sebuah syarikat,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Bangunan Baitul Makmur semalam.

Menurutnya, mana-mana syarikat berhak menyaman individu, organisasi atau kerajaan jika dituduh berniat jahat atau cuba menghasut.

Malah, kerajaan juga berhak menyaman jika ada individu yang berkata sesuatu yang tidak benar mengenai kerajaan.

“Untuk berkata kerajaan telah melakukan perkara yang salah, seperti dalam kes wang kerajaan yang lesap secara tiba-tiba.

“Jadi, anda mesti mempunyai fakta…jika tidak benar, maka saya percaya kerajaan boleh menyaman anda, inilah yang berlaku.

“Beliau (ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen) mendakwa terdapat ‘black hole’. Wang tersebut hilang dalam ‘black hole’ sedangkan ia sebenarnya tidak hilang,” tegasnya.

Beliau percaya keputusan terkini mahkamah akan menghalang individu yang tidak bertanggun­gjawab daripada mengeluark­an kenyataan secara tidak bertanggun­gjawab, bertindak secara tidak bertanggun­gjawab terhadap mana-mana individu, organisasi, syarikat atau kerajaan.

Mahkamah Persekutua­n di Putrajaya kelmarin memutuskan bahawa kerajaan persekutua­n dan negeri boleh menyaman individu atas tuduhan memfitnah ketika menolak rayuan Chong terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Negeri (responden kedua) boleh menyamanny­a atas tuduhan memfitnah.

Pada April 2013, Kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Negeri memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Kuching terhadap Chong kerana memfitnah dengan mendakwa RM11 bilion wang kerajaan lesap dalam ‘black hole’.

Tuduhan itu diterbitka­n dalam akhbar nasional berbahasa Cina dan portal berita nasional serta risalah yang diedarkan oleh Chong dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia