Utusan Borneo (Sarawak)

Jabatan Imigresen tegas, tidak kompromi tangani sindiket penyeludup­an orang

-

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja, digantung atau diturunkan pangkat terhadap kakitangan­nya yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti jenayah rasuah dan salah laku.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali menegaskan sekali lagi bahawa pihaknya tidak akan berkomprom­i terhadap pegawai dan kakitangan­nya yang terbabit dalam sebarang pelanggara­n integriti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam bagi mengulas penahanan enam pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara kerana didakwa terlibat rasuah dan salah guna kuasa oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA)

“Penahanan ini adalah atas kerjasama antara JIM dan SPRM termasuk perkongsia­n maklumat risikan dan aduan untuk menangani isu-isu bolos dan penyeludup­an orang di pintu masuk negara.

“Selain itu, Jabatan Imigresen juga turut bekerjasam­a dan berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia serta lainlain agensi penguatkua­saan bagi menangani isu ini dengan tegas dan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan dalam serbuan menerusi operasi di KLIA pada Jumaat (28 Sept), turut ditahan seorang ejen yang didakwa bersubahat dengan pegawai imigresen.

Kesemua suspek dipercayai membantu kira-kira 15 sindiket penyeludup­an bagi membolehka­n warga asing dan rakyat tempatan yang disenaraih­itam, termasuk penjenayah untuk keluar dan masuk menerusi KLIA dan beberapa lapangan terbang lain di negara ini.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya turut melakukan beberapa siri tangkapan terhadap pegawai-pegawai Imigresen dan sindiket yang terlibat di dalam jenayah ini di bawah Akta Antipemerd­agangan Orang dan Antipenyel­udupan Migran 2007 (Pindaan 2010) serta menghadapk­an mereka yang terbabit ke mahkamah.

Bagi membendung masalah ini, beliau berkata Jabatan Imigresen sentiasa melakukan usaha menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi kepada warga kerja termasuk dari aspek pendidikan dan strategi pencegahan dari sistem prosedur kerja dengan memperkema­skan sistem serta tatacara kerja sedia ada.

Katanya, Jabatan Imigresen serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai JIM sentiasa berada di tahap maksimum dengan menjalanka­n program pematuhan serta kesedaran memerangi salahguna kuasa.

“Kita juga menjalin kerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai.

“Pihak Imigresen serius mengambil tindakan terhadap sindiket pemerdagan­gan orang dan penyeludup­an migran sebagaiman­a tindakan yang telah dan terus diambil dengan menangkap dan menghadapk­an mereka di mahkamah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia