Utusan Borneo (Sarawak)

Warga Syria berada di klia2 sejak Mac ditahan polis

-

PUTRAJAYA: Lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang didakwa tinggal di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lepas ditahan polis, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali yang mengesahka­n penahanan itu berkata pihaknya akan mengambil alih kes itu selepas siasatan yang dijalankan polis selesai.

Beliau berkata jabatan itu akan bekerjasam­a dengan kedutaan Syria untuk membolehka­n lelaki itu dihantar pulang atau keluar dari Malaysia selepas ini.

“Lelaki itu ditahan polis semalam (kelmarin) kerana berada di kawasan larangan lapangan terbang tanpa boarding pass (pas menaiki penerbanga­n).

“Kita akan selesaikan segera isu ini dengan kedutaan Syria… kes ini perlu ada penyelesai­an kerana ia memalukan negara,” katanya pada sidang media selepas melancarka­n Narrowcast­ing Media dan Visa serta Pas Malaysia versi baharu di sini, semalam.

Mustafar berkata Hassan yang bertindak memalukan Malaysia melalui pelbagai kenyataan di media sosial sejak memasuki Malaysia 7 Mac lepas memberikan alasan enggan pulang ke Syria kerana bimbang dipaksa menjadi tentera.

“Walau apa juga alasannya, kita tidak akan berkomprom­i dan akan pastikan kes ini ditutup dengan lelaki itu dikeluarka­n dari negara ini,” katanya.

Mustafar berkata sebelum ini, Hassan telah cuba memasuki Kemboja selepas tempoh pas lawatannya ke Malaysia berakhir tetapi tidak dibenarkan oleh pihak keselamata­n negara itu.

“Di sana, dia tidak dibenarkan masuk kerana sebab tertentu dan balik semula ke Malaysia. Dia usahakan pelbagai cara dan keluarkan kenyataan yang memalukan negara kita di media sosial,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, Hassan, 36, mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lepas kerana bimbang akan ditangkap jika pulang ke Syria.

Sepanjang tempoh itu, Hassan menghantar blog video tentang kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media antarabang­sa.

Dalam perkembang­an lain, Mustafar berkata penahanan enam pegawai imigresen oleh Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana didakwa terbabit dalam perlakuan rasuah turut dibantu oleh pasukan risikan jabatan itu yang bekerjasam­a dengan SPRM.

Katanya beliau sendiri telah bercakap dengan pegawai atasan SPRM mengenai tindakan bersama yang boleh diambil terutamany­a berkongsi maklumat risikan sehingga individu berkenaan ditangkap.

Beliau berkata perkara itu dilakukan selepas pihaknya mengesan perbuatan segelintir pegawai jabatan itu yang seumpama ‘duri dalam daging’ menyalahgu­nakan kuasa sehingga memberi imej negatif kepada Imigresen.

“Sebab itu, jika ada tuduhan di mahkamah kita akan pastikan mereka dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana menyalahgu­nakan amanah yang diberikan”, katanya.

Sabtu lepas, enam pegawai imigresen serta dua wanita, seorang daripadany­a warga Vietnam direman empat hari bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki bersubahat dengan sindiket untuk melepaskan inidividu disenarai hitam keluar dan memasuki negara ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia