Utusan Borneo (Sarawak)

Hukuman sebat dan denda lebih tinggi menanti penjual rokok dan arak seludup

-

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencadangk­an kepada kerajaan untuk meminda Akta Kastam 1967 untuk mengenakan tindakan hukuman sebatan dan denda minimum RM100,000 terhadap mereka yang menjual rokok dan arak seludup.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromania­m berkata denda hukuman yang lebih berat itu bertujuan untuk mengekang penjualan rokok dan arak seludup di negara ini.

“Dengan pindaan akta itu, penjual yang menjual sekartun rokok seludup akan dikenakan denda minimum RM100,000 dan sebatan berbanding sebelum ini denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang sahaja, di mana sindiket biasanya akan membayar denda.

“Kita yakin outlet-outlet yang menjual rokok dan arak seludup dan tiruan di negara ini dapat dikawal kerana tindakan punitif ini,” katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Sementara itu, Subromania­m berkata JKDM yang melancarka­n Operasi Gempur telah melakukan 1,063 serbuan ke atas premis untuk mengenal pasti pengedar, pengilang yang memproses minuman keras tiruan di seluruh negara sejak 21 Sept lepas.

Beliau berkata operasi itu juga bertujuan untuk menyekat pembekalan minuman keras yang tercemar di pasaran yang menyebabka­n 36 kematian di seluruh negara.

“Ini melibatkan nilai anggaran RM40,571 dan jumlah cukai RM168,375. Dalam operasi khas ini, seramai 129 orang telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 20 (1) Akta Eksais 1976,” katanya.

Sementara itu, Subromania­m berkata JKDM berjaya mematahkan satu lagi sindiket pemprosesa­n arak tiruan melalui serbuan ke atas sebuah kilang di kawasan Cheras, Kuala Lumpur pada 28 Sept lepas.

Beliau berkata pasukan JKDM turut menemui botol, pelekat, alat pembotolan arak serta bahan memproses arak tiruan.

“JKDM telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun yang terlibat dalam memproses minuman keras tiruan.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah memproses arak tiruan pelbagai jenama bagi tujuan pasaran tempatan dengan menjadikan kawasan perumahan sebagai lokasinya untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Arak tiruan itu dijual kepada warga asing dengan harga jauh lebih murah berbanding dengan harga pasaran,” katanya.

Dalam serbuan itu, beliau berkata JKDM turut menjumpai 650 liter minuman keras yang dipercayai barang tidak berkastam yang nilai dan cukainya dianggarka­n RM10,000.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 74 (1) Akta Eksais 1976, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976 dan Seksyen 6 (1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusa­n Samsu Gelap) 1976. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? HASIL RAMPASAN: Subromania­m (dua kanan) melihat botol arak yang dirampas selepas sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam mematahkan sindiket pemprosesa­n arak tiruan di Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
— Gambar Bernama HASIL RAMPASAN: Subromania­m (dua kanan) melihat botol arak yang dirampas selepas sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam mematahkan sindiket pemprosesa­n arak tiruan di Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia