Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan tiga lelaki, rampas arak di Klang

-

KLANG: Polis menahan tiga lelaki tempatan serta merampas sejumlah minuman keras bernilai RM40,000 yang diragui ketulenann­ya dalam dua serbuan berasingan ‘Ops Methanol’, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata dalam serbuan pertama jam 11.15 malam, seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai menjalanka­n kegiatan menyeludup arak ditahan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, dekat sini.

Beliau berkata, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah teres di Taman Sentosa, di sini, sejam kemudian dan pihaknya menahan dua lagi suspek berusia 18 dan 24 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Di rumah teres itu, kirakira 12,800 tin dan botol minuman keras daripada 19 jenis jenama dirampas, termasuk jenama Kingfisher, Mandalay Whisky serta Grand Royal Whisky yang dipercayai mempunyai kandungan metanol tinggi dan menjadi punca kepada kematian puluhan individu di seluruh negara minggu lepas.

“Rumah teres berkenaan dipercayai menjadi tempat simpanan bagi minuman keras yang diseludup dan tidak dibayar cukai,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata siasatan awal mendapati arak- arak itu dipercayai diseludup dari India dan kemudian disimpan di rumah teres itu sebelum dijual kepada pemilik kedai arak yang tidak berlesen.

Tambah beliau, kumpulan terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Kami kini sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan yang dipercayai dalang kepada kegiatan ini,” katanya menambah serbuan berkenaan adalah susulan maklumat yang diterima daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Menurut Shamsul Amar, susulan kejadian keracunan arak pada 17 Sept lepas, pihaknya telah melakukan empat serbuan dan merampas pelbagai jenis arak haram bernilai kira-kira RM100,000 menerusi operasi sama.

Lebih 30 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat kes keracunan minuman keras. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia