Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Malaysia dipelawa mohon sebagai wakil AICHR

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Luar mempelawa rakyat Malaysia untuk memohon jawatan sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjay­a Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi tempoh sepenggal selama tiga tahun ( 2019- 2021) dengan kemungkina­n dilantik semula untuk penggal tambahan.

Dalam kenyataan di sini, kementeria­n berkata individu yang terpilih perlu menghadiri mesyuarat AICHR serta menjalanka­n beberapa lagi tugas.

Tugas terbabit termasuk membangunk­an strategi untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta kebebasan asasi bagi melengkapi usaha pembentuka­n Komuniti ASEAN.

Individu terbabit juga perlu menggubal pendekatan dan kedudukan bersama mengenai hak asasi manusia berkepenti­ngan kepada ASEAN.

Pemohon mestilah warga Malaysia, memiliki ijazah pertama dan sebaik-baiknya ijazah sarjana dengan pengalaman bekerja sekurangku­rangnya 15 tahun dalam bidang berkaitan hak asasi manusia, undang- undang atau hubungan antarabang­sa.

Calon juga mesti berpengeta­huan dalam isu-isu ASEAN dan AICHR serta mampu melaksanak­an tugas yang selaras dengan matlamat dan keutamaan yang ditetapkan oleh Kementeria­n Luar.

Permohonan lengkap yang mengetenga­hkan kesesuaian pemohon serta sumbangan yang boleh diberikan bersama-sama vitae kurikulum (CV) dan dokumen lain yang berkaitan perlu dihantar ke alamat:

Sekretaria­t Kebangsaan ASEAN- Malaysia, Kementeria­n Luar Malaysia, No. 1, Jalan Wisma Putra, Presint 2, 62602 Putrajaya, Malaysia, atau e- mel ke myaichrsel­ection@kln.gov. my.

Permohonan harus tiba di Sekretaria­t Kebangsaan ASEAN-Malaysia sebelum atau pada 14 Okt 2018 dan hanya calon yang disenarai pendek akan dipanggil untuk ditemu duga.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati menerusi laman sesawang kementeria­n di www. kln.gov.my. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia