Utusan Borneo (Sarawak)

Sistem QMS bagi peguam di POJ mulai Jumaat

-

PUTRAJAYA: Peguam yang hadir di Istana Kehakiman (POJ) di sini tidak perlu menunggu berjam-jam di bilik mahkamah sebelum kes mereka dipanggil kerana kini mereka boleh memantau melalui Sistem Pengurusan Giliran (QMS).

Ketua Hakim, Tan Sri Richard Malanjum berkata dengan sistem baharu itu yang akan dipaparkan di skrin televisyen di POJ, ia akan memberikan keselesaan kepada peguam untuk merancang masa mereka atau menghadiri kes lain sambil menunggu kes mereka didengar.

“Apabila mereka (peguam) masuk (mahkamah), mereka duduk di situ dan menunggu berjam-jam atau sepanjang hari. Mereka tidak boleh keluar minum atau menghubung­i pejabat mereka semasa sesi mahkamah. Ia tidak adil untuk mereka.

“Pilihan terbaik adalah jika giliran anda belum tiba, anda boleh pergi ke mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas meninjau skrin televisyen yang terletak di kafeteria dengan pegawai mahkamah.

Beliau menjelaska­n bahawa peguam boleh mengetahui kedudukan kes mereka melalui paparan skrin dengan nombor kes, pihak yang terlibat dan status kes sama ada didengar atau kes dipanggil di Mahkamah Persekutua­n atau Mahkamah Rayuan.

“Sistem ini adalah bagi kemudahan semua pihak,” katanya sambil menambah bahawa sistem itu akan diperluask­an di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Selain itu, Malanjum berkata pihaknya juga akan memperkena­lkan sistem semakan elektronik bagi peguam mendapatka­n tarikh pengurusan kes mereka tanpa hadir ke mahkamah.

“Ini boleh dilakukan oleh mereka di pejabat tanpa membuang masa hadir di mahkamah semata-mata untuk mendapatka­n tarikh pengurusan kes,” katanya.

Sistem OMS akan dilaksanak­an mulai Jumaat ini dan skrin televisyen akan ditempatka­n di beberapa lokasi dalam bangunan POJ.

Sementara itu, peguam kanan, Datuk Jagjit Singh memuji langkah Ketua Hakim memperkena­lkan kemudahan itu di POJ memandangk­an sistem sedemikian telah pun dilaksanak­an di mahkamah di Sabah dan Sarawak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia