Utusan Borneo (Sarawak)

Korban gempa bumi di Sulawesi cecah 1,407

Manakala PBB beri amaran tentang keperluan ‘begitu besar’ yang tidak dapat dipenuhi

- Muka

WANI: Bilangan kematian dalam bencana berkembar gempa bumi dan tsunami di Indonesia melepasi 1,400 semalam, dengan masa yang semakin suntuk untuk menyelamat­kan mangsa yang selamat manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB) memberi amaran tentang keperluan “begitu besar” yang tidak dapat dipenuhi.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan Sutopo Purwo Nugroho berkata jumlah kematian sudah meningkat kepada 1,407 di empat kawasan sekitar kota tepi pantai Palu yang musnah, manakala 519 mayat sudah dikebumika­n.

Pihak berkuasa menetapkan tarikh akhir sementara pada Jumaat ini untuk mencari mangsa yang mungkin masih terperangk­ap di bawah runtuhan, bila mana – seminggu selepas bencana berganda yang dahsyat ini – peluang untuk mencari mangsa yang selamat akan turun kepada hampir kosong.

Pekerja penyelamat kerajaan fokus kepada enam tapak penting di sekitar kota – Hotel Roa-Roa di mana seramai 60 orang masih dipercayai tertimbus, sebuah pusat beli-belah, sebuah restoran dan kawasan Balaroa di mana kekuatan gempa memekatkan tanah buat seketika.

Sekurang-kurangnya 150 orang masih belum dikesan di bawah runtuhan, kata pegawai.

Menurut pejabat kemanusiaa­n PBB, hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, antara mereka puluhan ribu kanak- kanak, dengan anggaran 66,000 rumah yang dimusnahka­n atau dirosakkan oleh gempa berukuran 7.5 dan tsunami yang dicetuskan­nya.

Walaupun kerajaan Indonesia menggesa pasukan penyelamat asing untuk bersiap sedia kerana krisis sedang berlaku, penduduk di kampung terpencil yang teruk terjejas seperti Wani dalam wilayah Donggala berkata bantuan belum tiba dan harapan semakin pudar.

“Seramai 12 orang di kawasan ini belum lagi dijumpai,” kata Mohammad Thahir Talib kepada AFP.

“Di kawasan ke selatan, kerana evakuasi tiada, kita tidak tahu sama ada mayat ada ataupun tidak. Mayat lain mungkin ada,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

Di Geneva, PBB menyuaraka­n kekecewaan dengan kelambatan tindakan.

“Masih terdapat kawasan besar yang mungkin kawasan paling teruk terjejas yang belum lagi dicapai dengan sewajarnya, tetapi pasukan sedang berusaha, mereka sedang berusaha sedaya upaya,” kata Jens Laerke, dari pejabat kemanusiaa­n PBB, kepada pemberita lewat kelmarin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggar­kan di seluruh Donggala, kira-kira 310,000 orang terjejas disebabkan oleh bencana itu.

Mangsa terselamat berdepan dengan kehausan dan kelaparan, dengan bekalan makanan dan air bersih yang kurang, dan hospital tempatan dipenuhi mangsa cedera yang begitu ramai.

Pegawai di lapangan berkata sementara kerajaan kini sudah meminta bantuan, “mekanisme untuk melaksanak­an ini masih belum ada”.

Tempat pendaratan di lapangan terbang Palu sudah diambil alih oleh tentera Indonesia, tetapi ia dijangka dibuka kepada penerbanga­n komersil bermula jam 7.59 pagi ini (Khamis).

Pelabuhan Palu, pusat transit penting bagi bantuan, telah rosak.

Tanda desakan semakin meningkat, malah anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata kelmarin untuk mengusir orang yang menggeleda­h kedai.

Enam trak kementeria­n hal ehwal sosial di Indonesia yang membawa muatan bekalan dilaporkan dijarah dalam perjalanan ke Palu.

Pada laluan utama ke utara dari kota itu, seorang wartawan AFP melihat golongan muda menyekat jalan dan meminta “derma” untuk membuka laluan.

Widodo, yang berdepan dengan pilihan raya lagi pada tahun depan, menegaskan angkatan tentera dan pasukan polis mengawal keadaan sepenuhnya.

“Tiada penjarahan berlaku,” katanya.

Dalam satu lagi peringatan tentang pendedahan Indonesia kepada bencana alam, Gunung Berapi Soputan di Sulawesi meletus semalam, dan memuntahka­n abu gunung berapi setinggi 4,000 meter di atas kawah.

Agensi bencana negeri memberi amaran kepada orang ramai untuk menjarakka­n diri sekurang-kurangnya sejauh empat kilometer, tetapi berkata evakuasi tidak perlu buat masa sekarang.

Tawaran bantuan antarabang­sa meningkat sejak Jakarta meminta bantuan lewat, dan Tabung Tindakan Kecemasan Pusat PBB mengumumka­n lewat kelmarin bahawa ia akan mengeluark­an bantuan sebanyak AS$15 juta (RM60 juta).

Semalam Australia berkata ia telah menghantar sebuah pasukan perubatan ke zon bencana dan menyediaka­n bantuan tambahan bernilai AS$5 juta (RM20 juta). — AFP

 ??  ??
 ?? — Gambar Reuters ?? KEMUSNAHAN BESAR: Anggota penyelamat bekerja di sekitar runtuhan Hotel Roa-Roa selepas gempa bumi melanda pulau Palu di Sulawesi Tengah kelmarin.
— Gambar Reuters KEMUSNAHAN BESAR: Anggota penyelamat bekerja di sekitar runtuhan Hotel Roa-Roa selepas gempa bumi melanda pulau Palu di Sulawesi Tengah kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia