Utusan Borneo (Sarawak)

ROSMAH DIDAKWA 17 TUDUHAN PENGUBAHAN WANG HARAM RM7 JUTA

-

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan satu persatu oleh dua jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah membenarka­n Rosmah, yang memakai baju kurung dan berselenda­ng oren serta beg tangan warna sama diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahka­n dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarka­n permohonan Rosmah, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk K. Kumaraendr­an membayar ikat jamin RM500,000 semalam dan bakinya pada atau sebelum 11 Oktober.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutua­n Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dan mahkamah menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Rosmah didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram yang menyebabka­n hasil daripada sesuatu aktiviti haram berjumlah RM1.1 juta dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad bernombor 1000200000­58 milik Rosmah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, dia dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kesembilan hingga ke- 12, Rosmah didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam 227 transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan menyebabka­n hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5, 997, 750 yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad bernombor 1000200000­58 milik Rosmah.

Pendakwaan dikemukaka­n bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-12, didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan kepada Ketua Pengarah LHDN.

Mengikut pertuduhan ke13 hingga ke-17 dia didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram iaitu gagal membuat suatu penyata bagi pendapatan, kesemuanya berjumlah RM7, 097, 750 yang telah dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Berhad bernombor 1000200000­58 miliknya antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Sebagaiman­a yang dikehendak­i di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukak­an suatu penyata bagi tahun taksiran antara 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah bertentang­an dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan ke- 13, Rosmah didakwa mengikut seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduadua, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke- 14 hingga ke-17, dia didakwa mengikut seksyen 4( 1) ( a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? HADAPI 17 PERTUDUHAN: Rosmah memberi reaksi selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama HADAPI 17 PERTUDUHAN: Rosmah memberi reaksi selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia