Utusan Borneo (Sarawak)

Pakar cadang diwujudkan peraturan elak salah guna aset semasa pilihan raya

-

KUALA LUMPUR: Pakar perlembaga­an Dr Abdul Aziz Bari mencadangk­an agar satu peraturan atau sistem yang adil diwujudkan untuk mengelakka­n terjadinya penyalahgu­naan aset kerajaan semasa pilihan raya.

Beliau berkata, pihak kerajaan dan pembangkan­g dengan bantuan agensi seperti Suruhanjay­a Pilihan Raya ( SPR) boleh berbincang agar peraturan atau sistem itu tidak mengetepik­an soal keselamata­n atau praktikali­ti dalam proses pilihan raya.

“Adalah tidak praktikal apabila ada ahli politik, apabila tiba saja di Port Dickson untuk pilihan raya kecil (PRK) contohnya, pemandu dan pengawal terus berhenti dan minta mereka tukar kereta dan sebagainya. Berkempen juga tugas ahli politik dan tidak boleh samakan dengan tugas ketua setiausaha.

“Secara umumnya saya sendiri tidak setuju dengan salah guna dan kita konsisten dalam isu ini seperti yang telah dilaksanak­an oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor mengenai penggunaan balai raya dan sebagainya bagi pilihan raya,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak bagaimanap­un mengakui peraturan atau sistem berkenaan bukan mudah untuk diwujudkan kerana sukar untuk membuat garis pemisah antara tugas rasmi dan tugas tidak rasmi manakala peraturan sedia ada mengenai perkara ini adalah tidak jelas.

Aziz turut meminta badan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 supaya mengambil kira lebih banyak aspek dalam tugas ahli politik dan tidak hanya mengambil sikap berkeras dalam menegur dengan mendakwa PH paling banyak melakukan kesalahan ketika PRK sebelum ini.

“Saya ingin menjelaska­n kepada Bersih bahawa terdapat sisi-sisi tertentu yang mereka terlepas pandang kerana mereka tidak pernah melalui proses berkenaan.

“Saya bagaimanap­un menganggap ini sebagai lumrah kerana mereka adalah NGO dan bukan ahli politik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia