Utusan Borneo (Sarawak)

Muzik Jam kembali bagi musim ke-2 di Hurr.TV

-

PROGRAM Muzik Jam akan kembali bersiaran bagi musim kedua secara langsung serta eksklusif di laman online gaya hidup dan platform strim video Malaysia, hurr.tv.

Program muzik online ini menampilka­n individu yang tidak asing dalam bidang pengacaraa­n radio dan televisyen iaitu Jaa Suzuran sebagai hos.

Episod web pertama boleh ditonton di laman web dan aplikasi hurr.tv bermula 3 Oktober jam 8.30 malam.

Program ini akan bersiaran secara langsung bagi 12 episod web. Manakala episod web penuh akan disiarkan di YouTube hurr.tv.

Muzik Jam musim kedua akan menampilka­n kelainan dengan pihak produksi bukan sahaja menjemput YouTuber, malah akan membawa masuk beberapa artis dalam kategori ‘Budak Baru Nak Up’ atau BBNU yang telah muncul dengan single terbaharu untuk bersaing secara akustik atau minus one.

Sekali lagi, penonton memainkan peranan penting bagi menentukan nasib YouTuber atau artis kegemaran untuk muncul sebagai pemenang mingguan melalui undian yang dilakukan secara langsung.

Pemenang yang muncul sebagai juara mingguan akan menerima Vita Ampul Pencerahan daripada produk penjagaan wajah dan kulit MUCA. Manakala mereka yang muncul juara tiga minggu berturut-turut akan menerima sebuah telefon pintar tajaan HOTWAV.

Lebih menarik, setiap minggu penonton juga berpeluang memenangi telefon pintar HOTWAV dan Vita Ampul Pencerahan daripada MUCA dengan menjawab beberapa soalan yang diberikan secara langsung semasa menonton Muzik Jam.

Menurut Pengarah Saluran hurr.tv, Datin Elaine Daly, Muzik Jam musim pertama berjaya menarik lebih 1.9 juta tontonan bagi keseluruha­n 12 episod yang dimuatnaik di YouTube hurr.tv manakala gabungan laman web dan aplikasi telefon pintar hurr.tv pula mencatatka­n lebih 52 ribu tontonan.

“Ia memberikan kami keyakinan untuk muncul dengan Muzik Jam musim kedua yang bukan sahaja tampil dengan beberapa kelainan dan hos baharu, malah turut mendedahka­n bakatbakat tempatan terkini untuk lebih dikenali,” katanya.

Episod web pertama yang disiarkan pada 3 Oktober lepas menyaksika­n dua bakat iaitu Wafiy dan Kucaimars bersaing untuk muncul juara dan pemenang akan ditampilka­n pada episod web berikutnya.

Antara senarai artis lain yang bakal bersaing adalah Syada Amzah, Masya Masyitah, Farisha Irish, Megat Rahim, Aziz Harun dan Ben Ladin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia