Utusan Borneo (Sarawak)

Ribuan mayat menimbuni Palu

-

PALU: Hampir 2,000 mayat sudah ditemui di kota Palu yang musnah dilanda bencana di Indonesia, kata seorang pegawai semalam, manakala usaha mencari mangsa berakhir di sebuah hotel yang musnah dalam gempa bumi dan tsunami yang kuat.

Bilangan kematian daripada bencana berkembar di Pulau Sulawesi yang meranapkan seluruh kawasan pinggir bandar di Palu sudah mencecah 1,944, kata jurucakap tentera tempatan M. Thohir.

“Jumlah itu dijangka akan meningkat kerana kita belum lagi menerima arahan untuk menamatkan usaha mencari mayat,” kata Thohir, yang juga anggota pasukan petugas gempa bumi Palu rasmi kerajaan, kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata seramai 5,000 dipercayai hilang di dua kawasan yang teruk terjejas sejak bencana berlaku pada 28 September lalu - yang menunjukka­n lebih ramai lagi mungkin telah maut berbanding bilangan sekarang.

Harapan untuk mencari orang yang masih hidup semakin pudar dan usaha mencari mangsa selamat di tengah-tengah runtuhan sudah bertukar menjadi kerja mengumpul dan mengambil kira mangsa yang terkorban.

Agensi bencana berkenaan berkata usaha rasmi mencari mangsa yang hilang akan diteruskan sehingga 11 Oktober sebelum mereka disenaraik­an sebagai hilang, dan diandaikan sudah mati.

Namun penyelamat menamatkan usaha mencari semalam di Hotel Roa-Roa, yang musnah sama sekali dilanda gempa bumi.

Hotel itu muncul sebagai fokus awal usaha untuk mengeluara­kan mangsa selamat, dan tujuh orang dikeluarka­n dalam keadaan masih hidup daripada runtuhan sejurus selepas bencana berlaku.

Namun tiada orang lain diselamatk­an pada hari-hari seterusnya, dan keyakinan pudar apabila mayat dikeluarka­n daripada runtuhan.

“Operasi SAR ( mencari dan menyelamat) di Hotel Roa- Roa sudah berakhir kerana kami sudah memeriksa seluruh hotel dan tidak menemukan mangsa lain,” kata Bambang Suryo, selaku pengarah lapangan SAR di Palu, kepada AFP.

Agus Haryono, seorang lagi pegawai SAR di tempat kejadian yang mengesahka­n usaha mencari sudah ditamatkan, berkata 27 mayat dijumpai dari hotel tersebut termasuk tiga yang dikeluarka­n daripada puing kelmarin.

Antara mereka yang disahkan mati adalah lima peluncur udara di Palu untuk satu pertanding­an, termasuk seorang atlet Sukan Asia dan seorang warga Korea Selatan, satu-satunya mangsa asing yang dikenali dalam bencana itu.

Pihak berkuasa percaya ho- tel dengan 80 bilik itu hampir penuh ketika daerah itu dilanda gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami dan kira-kira 50 hingga 60 orang mungkin terperangk­ap di dalam.

Penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengeluark­an mayat daripada runtuhan di Palu, satu tugasan yang diburukkan lagi apabila lumpur mengeras dan mayat mereput dalam kepanasan tropika.

Kerajaan menyatakan beberapa kawasan yang ranap akan diumumkan sebagai kubur besar- besaran, dan tidak disentuh.

Penduduk Balaroa bernama Sarjono bersetuju dengan rancangan untuk menutup kawasan kejiranan yang musnah di mana banyak mayat dipercayai terperangk­ap di bawah runtuhan.

“Tetapi hanya jika mereka membantu kami berpindah ke tempat lain.

“Jika tidak, di manakah kami akan tinggal?” kata lelaki berusia 50 tahun itu yang ditemui dekat puing rumah lamanya.

Gopal, yang kehilangan ibu saudara dan bapa saudaranya di Balaroa, mencari-mencari mereka di bawah runtuhan kerana sedar dia hanya ada beberapa hari sahaja lagi untuk mencari mereka.

“Jika pun mereka (pasukan pencari) berhenti mencari, kami sendiri tetap akan mencari mereka,” kata lelaki berusia 40 tahun itu yang menggunaka­n satu nama, seperti kebanyakan warga Indonesia.

“Apabila kami sendiri tidak dapat melakukann­ya, kami akan serahkan kepada Allah.”

Mesin pengorek dan penyelamat mencari mangsa di Balaroa semalam di mana sebuah kompleks perumahan kerajaan yang besar habis ditelan oleh bencana.

Pegawai berkata seramai 5,000 orang dikhuatiri tertimbus di Balaroa dan Petobo, sebuah lagi komuniti yang habis musnah.

Petobo, sebuah gugusan kampung, ditelan bumi apabila gegaran daripada gempa berukuran 7.5 itu menukar tanah menjadi pasir jerlus, satu proses yang dikenali sebagai pencairan tanah.

Usaha bantuan telah dipertingk­atkan untuk membantu 200,000 orang yang amat memerlukan bantuan.

Bekalan makanan dan air bersih masih kurang dan ramai bergantung sepenuhnya kepada bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Helikopter yang menggugurk­an bekalan di kawasan komuniti yang terpencil di luar Palu di mana kerosakan masih belum diketahui sepenuhnya.

Persatuan Palang Merah semalam merawat lebih 1,800 orang di klinik dan memberi bantuan kecemasan kepada jumlah yang sama dalam zon bencana. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? MENCARI MAYAT: Anggota tentera Indonesia meredah puing rumah yang musnah di Petobo, Sulawesi Tengah semalam.
— Gambar AFP MENCARI MAYAT: Anggota tentera Indonesia meredah puing rumah yang musnah di Petobo, Sulawesi Tengah semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia