Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan beli, guna produk kosmetik mengandung­i racun berjadual

-

KUCHING: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam agar mengelak daripada membeli dan menggunaka­n produk kosmetik yang dipercayai mengandung­i racun berjadual.

Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh pengarah kanan Perkhidmat­an Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

Produk- produk terbabit adalah Diamond Gold Skin Care ( Day Cream, Night Cream, Gold Treatment Cream), Alora Night Glowing Cream, Karisma (Night Cream Kunyit, Day Cream, Treatment Sarang Burung), Seputih Melati (Night Cream Whitening, Night Cream Glowing), Majaja Serum Channtiq, SYMA (Magical Serum, Facial Cleanser), Khumaera Mositskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Nor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbarnya semalam, produk yang mengandung­i hydroquino­ne, tretinoin dan diphenhydr­amine adalah produk farmaseuti­kal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesiona­l kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquino­ne lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahka­n kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

“Penggunaan hydroquino­ne tanpa pengawasan profesiona­l kesihatan boleh menyebabka­n kemerahan pada kulit yang disapu, ketidaksel­esaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensi­tif.

“Kesan daripada penggunaan hydroquino­ne boleh menghalang proses pigmentasi (depigmenta­si) yang mengurangk­an perlindung­an kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatk­an risiko kanser kulit.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosik­an untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangk­an kedutan.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesiona­l kesihatan boleh menyebabka­n bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensi­tif kepada cahaya matahari,” katanya.

Sementara produk yang dicampur palsu dengan diphenhydr­amine bertujuan memberi kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

Penggunaan diphenhydr­amine tanpa pengawasan profesiona­l kesihatan boleh mengakibat­kan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabka­n kesan alahan teruk.

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahka­n kulit dan rawatan antipenuaa­n seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratk­an kesihatan.

Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam tubuh dan menyebabka­n kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembang­an otak kanakkanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandung­i merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandung­i merkuri atau orang yang menggunaka­n produk kosmetik tersebut dan kemudianny­a memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut.

Penggunaan produk yang mengandung­i merkuri boleh juga menyebabka­n ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Justeru, beliau mengingatk­an penjual dan pengedar produk kosmetik agar menghentik­an penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, tegasnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunaka­n produk-produk kosmetik yang dinyatakan dinasihati segera menghentik­an penggunaan­nya dan mendapatka­n nasihat daripada profesiona­l kesihatan jika mengalami sebarang ketidaksel­esaan atau kesan ‘advers’.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh die-mel kepada kosmetik@ npra.gov.my.

Pengguna dan orang ramai dinasihati menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia