Utusan Borneo (Sarawak)

MAPIM wujud lima sekolah tidak formal untuk anak-anak Rohingya

-

ALOR SETAR: Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil inisiatif mewujudkan lima sekolah tidak formal untuk anak-anak etnik Rohingya belajar di negeri ini.

Ketua Operasi Pendidikan Anak-Anak Rohingya Kedah, Zulkifli Harun berkata, sekolah yang diasaskan sejak 2015 memberi peluang kepada lebih 300 anak-anak Rohingya yang terdapat di Sungai Petani, Alor Setar, Kulim, dan Langkawi untuk belajar menulis, mengira dan membaca.

“MAPIM mengambil tanggungja­wab untuk menyediaka­n pendidikan tdak formal kepada anak Rohingya Kedah dengan semua kos operasi ditanggung MAPIM menerusi sumbangan orang ramai, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita cuma mengambil yuran sebanyak RM20 sebulan supaya ibu-bapa turut sama rasa tanggungja­wab memberi pendidikan kepada anak mereka yang berusia tujuh hingga 15 tahun,” katanya pada Majlis Kenduri Serta Tahlil Memperinga­ti Mangsa Kekejaman di Rohingya di sini, semalam.

Pada majlis itu, kira-kira 300 anggota masyarakat etnik Rohingya hadir.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia cawangan Kedah, Yusof Ali melahirkan kebimbanga­nnya dengan penindasan yang masih berlaku di Rakhine, Myanmar.

Justeru, beliau meminta jasa baik Malaysia menggunaka­n saluran antarabang­sa untuk menghentik­an penindasan yang berlaku sejak 1978 yang membunuh lebih 100,000 etnik Rohingya terutama orang tua dan kanak-kanak.

“Sudah banyak kali saya cakap supaya badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN dapat menamatkan kekejaman di Rakhine supaya kami orang Rohingya dapat pulang ke negara asal untuk hidup sebagai rakyat Myanmar,” katanya.

Menurut rekod, etnik Rohingya di Malaysia mencecah 80,000 dan di Kedah sahaja terdapat 8,000 orang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia