Utusan Borneo (Sarawak)

JBPM Selangor sedia hadapi fenomena air pasang

-

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkina­n fenomena air pasang besar, yang mengikut jadual pasang surut air, berlaku bermula semalam sehingga Khamis.

Pengarahny­a, Azmi Osman berkata, seramai 1,400 anggotanya kini dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi fenomena itu.

Selain itu, beliau berkata, JBPM Selangor turut memastikan peralatan menyelamat terutama bot dalam keadaan bersiap sedia untuk digunakan jika terdapat keperluan untuk memindahka­n mangsa ke pusat penempatan sementara.

“Tumpuan diberikan di kawasan pesisir pantai iaitu di Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam iaitu kawasan dijangka terjejas akibat fenomena itu.

“Kami juga bersedia untuk menggerakk­an anggota dari balai bomba lain di sekitar negeri ini ke kawasan terjejas sekiranya keadaan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai bagi pihak waris enam anggota Pasukan Penyelamat­an Di Air (PPDA) yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Rabu lepas.

Sumbangan berkenaan diberikan oleh pasukan produksi Paskal The Movie, Persatuan Penyelamat Gunung Malaysia dan Kelab Pendaki Malaysia.

Berdasarka­n jadual pasang surut air bagi kawasan Pelabuhan Klang, paras air laut diramalkan berada pada paras tertinggi mulai semalam sehingga Khamis dengan ketinggian mencecah 5.6 meter.

Dalam pada itu, Azmi menegaskan bahawa tiada sebarang pembekuan cuti dikenakan terhadap anggota dan pegawai bomba di seluruh Selangor sepanjang berlakunya fenomena air pasang besar itu.

Bagaimanap­un beliau berkata, pihaknya hanya membenarka­n 20 peratus anggota bercuti pada satu-satu masa dan mereka perlu bersiap sedia untuk dipanggil bertugas sekiranya keadaan memerlukan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia