Utusan Borneo (Sarawak)

KKM sahkan dua kematian akibat laksa di Baling

-

ALOR SETAR: Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan (JKN) Kedah mengesahka­n terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 lagi dilaporkan di Kedah.

“Pada 6 Okt lalu, KKM telah menerima satu notifikasi daripada Hospital Gerik mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian dan siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi daripada satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama mengalami gejala demam, cirit-birit, dan muntah.

“Mereka dilaporkan telah memakan laksa pada 9.30 malam, 4 Oktober lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada hari yang sama jam 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata pada Ahad lalu, dua lagi kes telah dimasukkan ke Hospital Gerik kerana mengalami keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli di kedai sama pada 4 Oktober dengan satu kes dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh namun pesakit meninggal dunia pada 2.31 petang, hari yang sama.

“Selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai sama turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Baling.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di JKN Kedah dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama,” katanya.

Katanya, JKN Kedah telah menjalanka­n pemeriksaa­n dan menguatkua­sakan penutupan sementara ke atas gerai terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitar­an sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai yang mempunyai gejala KRM agar segera mendapatka­n rawatan di fasiliti kesihatan berhampira­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia