Utusan Borneo (Sarawak)

Berang ditegur hisap dadah, anak penggal kepala bapa

-

IPOH: Seorang bapa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dipenggal kepalanya oleh anak lelakinya yang berang ditegur menghisap dadah di dalam rumah di Kampung Kanthan Baru di sini, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abdul Rahman berkata, dalam kejadian tengah malam kelmarin, suspek berusia 52 tahun itu telah membunuh bapanya yang berumur 74 tahun ketika dipercayai sedang khayal dadah jenis syabu.

Menurut Yahya, pihaknya menerima laporan awam kira-kira jam 1.30 petang semalam sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian dan terserempa­k dengan suspek yang kemudianny­a membawa polis ke rumahnya.

“Siasatan awal di rumah tersebut mendapati satu daripada lima bilik mempunyai kesan darah dan apabila disoal lanjut suspek menunjukka­n kepala bapanya yang telah ditanam di laman belakang rumah mereka.

“Apabila ditanya mengenai bahagian badan mangsa, suspek berkata badan yang telah dikerat enam bahagian itu dibuangnya di lubang pembetunga­n sedalam lima kaki. Bahagian badan itu dibuang kira-kira 12 meter dari kepala mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Yahya berkata hasil siasatan di tempat kejadian, polis turut menemukan sebilah parang sepanjang 0.6 meter di salah sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk mengerat badan mangsa.

Beliau berkata, sebelum ini suspek bekerja sebagai kontraktor tetapi sudah tiga bulan tidak bekerja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia