14 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual
KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.
Antara produk tersebut ialah Diamond Gold Skin Care (Day/Night Cream), Alora Night Glowing Cream, Karisma Nightcream Kunyit, Seputih Melati Night Cream Whitening, Majaja Serum Channtiq, SYMA Magical Serum, Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.
“Notifikasi produkproduk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, semalam.
Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Produk kosmetik yang di- campur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi atau depigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” kata beliau.
Beliau berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan kedutan.
“Penggunaan tanpa pengawasan di bahagian kulit yang disapu akan menyebabkan kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.
Beberapa produk kosmetik dicampur palsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.
“Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk,” katanya. — Bernama