Utusan Borneo (Sarawak)

PKR: Janji kempen Anwar tidak langgar peraturan pilihan raya

-

PORT DICKSON: PKR berpandang­an bahawa janji yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson oleh calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk pelaburan sebagai tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata janji itu bukan satu bentuk rasuah yang diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu bagi mengubah atau mendorong mereka membuat sesuatu keputusan.

“Ada satu laporan polis dibuat oleh calon Bebas yang mempertika­i sama ada Anwar boleh mengumumka­n projek-projek yang akan dibawa masuk ke Port Dickson selain menawarkan tuisyen percuma.

“Setahu saya, berkait dengan isu sogokan atau rasuah, ia perlu bukti yang kukuh bahawa seseorang itu menerima sesuatu jumlah wang dan akibat menerima wang itu, maka mereka telah mengubah keputusan untuk mengundi individu tertentu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini, semalam.

Kelmarin, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis mendakwa Ketua Umum PKR itu melanggar Akta Pilihan Raya 1954 kerana menjanjika­n projek besar dan bantuan kepada pengundi semasa kempen PRK itu berlangsun­g.

Ahmad Fahmi berkata dalam kes berkenaan, janji itu tidak ditujukan secara spesifik kepada mana-mana individu tetapi seluruh masyarakat Port Dickson akan menerima manfaat itu dan mereka boleh menolak jika tidak mahu.

Dalam beberapa ceramah semasa kempen PRK, Anwar menyatakan sekiranya beliau menang ada pelaburan besar yang akan dibawa masuk ke Port Dickson dan minggu lepas beliau turut melancar- kan program tuisyen percuma dalam talian untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di Port Dickson.

PRK Port Dickson menyaksika­n saingan tujuh penjuru antara Anwar dan calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongka­n oleh penyandang­nya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lepas bagi membolehka­n Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke- 14, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahka­n calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia