Utusan Borneo (Sarawak)

Sepasang suami isteri mengaku bunuh 20 orang di Mexico

-

KOTA MEXICO: Sepasang suami isteri yang ditahan di Mexico ketika mengangkut bahagian badan manusia dalam sebuah pedati bayi telah mengakui membunuh 20 orang, dua kali ganda jumlah yang disyaki pada mulanya, kata ketua penyiasat kes itu kelmarin.

Lelaki terbabit turut mengakui merogol beberapa mangsa wanita dan menjual beberapa bahagian badan mereka, kata pendakwa raya Alejandro Gomez di negeri Mexico.

Lelaki dan wanita itu ditangkap Khamis lalu di Ecatepec, sebuah bandar pinggiran yang dilanda keganasan ke timur laut Kota Mexico, kerana disyaki membunuh 10 wanita.

Lelaki itu memberi maklumat terperinci mengenai 10 pembunuhan tersebut, dan memberitah­u penyiasat bahawa dia dan isterinya membunuh 10 orang lain juga, menurut Gomez.

Pendakwa raya kini cuba menentukan sama ada ia adalah benar, atau hanya cakap besar seorang psikopat dan pembunuh bersiri, katanya.

“Dia menceritak­annya dengan penuh selamba.

“Saya boleh katakan dia sebenarnya nampak gembira untuk melakukan ini,” kata Gomez dalam satu temu ramah dengan rangkain radio Mexico, Formula.

“Dia mahu orang melihat gambarnya, mengenali namanya.

“Saya sudah tentu akan mengklasif­ikasikan orang ini sebagai seorang pembunuh, pembunuh bersiri,” katanya lanjut.

Pasangan itu juga mengakui menjual bayi berusia dua bulan milik salah seorang mangsa mereka kepada sepasang suami isteri lain, yang turut ditangkap, menurut akhbar El Universal.

Suspek yang ditangkap hanya dikenali sebagai Juan Carlos ‘ N’ dan isterinya Patricia ‘N’, selari dengan undang-undang Mexico.

Si lelaki mempunyai gangguan mental yang konsisten dengan psikosis dan masalah personalit­i, manakala si isteri terencat akal sejak lahir dan mengalami psikosis yang didorong, kata Gomez.

Dia memetik satu pemeriksaa­n psikiatri yang dikemukaka­n pendakwa raya dalam penampilan awal lelaki itu di mahkamah Ahad lepas.

“Namun kedua- duanya dapat membezakan di antara betul dan salah,” ujar Gomez.

Pasangan itu tinggal bersama tiga anak mereka, termasuk seorang bayi.

Apabila pihak berkuasa memeriksa dua rumah mereka, mereka menjumpai sisa mayat manusia dalam baldi yang diisi simen dan dibungkus dalam beg plastik di dalam peti sejuk, selain pakaian yang dipercayai miliki beberapa mangsa mereka.

Lelaki itu memberitah­u penyiasat bahawa dia dan isterinya memujuk mangsa mereka, kebanyakan­nya ibu muda, dengan tawaran baju diskaun untuk bayi mereka.

“Mereka adalah ibu tunggal dan mereka memerlukan seseorang yang dapat membantu mereka mencari pakaian bayi yang tidak mahal,” kata Gomez.

Penyiasat menjejaki pasangan itu dengan mengesan panggilan telefon bimbit yang dibuat wanita yang hilang berkenaan kepada mereka, katanya.

Kes itu mencetuska­n kejutan di Mexico, malah menurut standard sebuah negara yang dihantui jenayah keganasan.

Ratusan orang menunjuk perasaan di Ecatepec pada Ahad lepas, sambil membawa lilin dan bunga putih untuk menuntut tindakan oleh pihak berkuasa untuk menangani ledakan keganasan ke atas wanita dan gadis.

Tujuh wanita dan gadis dibunuh di Mexico setiap hari, menurut Wanita Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia