Utusan Borneo (Sarawak)

Perak yakin kadar penembusan Internet meningkat dengan pakej baharu

-

IPOH: Kerajaan Perak yakin kadar penembusan Internet di negeri itu akan meningkat dengan pengenalan pakej jalur lebar baharu yang menawarkan penguranga­n harga sehingga 56 peratus.

Pengerusi Jawatankua­sa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata setakat ini Perak mencatatka­n langganan Internet sekitar 183,900 daripada 2.6 juta di seluruh negara.

“Kami percaya kadar penembusan Internet untuk jalur lebar talian tetap akan meningkat sehingga 90 peratus di kawasan bandar dengan adanya pakej Internet baru dengan harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Pos Sedunia Peringkat Negeri Perak 2018 anjuran Pos Malaysia dengan kerjasama Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di perkaranga­n platform pusat mel, di sini semalam.

Dua hari lepas SKMM dilaporkan berkata pengguna akan menikmati harga jalur lebar talian tetap lebih rendah dengan penguranga­n sehingga 56 peratus menerusi pakej-pakej baharu yang diumumkan empat syarikat telekomuni­kasi iaitu Telekom Malaysia, Maxis, TIME dotcom dan Celcom.

Menurut Hasnul Zulkarnain, pihaknya juga merancang menaik taraf kemudahan infrastruk­tur gentian optik dalam menyediaka­n perkhidmat­an jalur lebar berkelajua­n tinggi di negeri itu dengan pelantikan kontraktor dijangka selesai sebelum penghujung tahun ini.

“Namun saya tidak menjangkak­an ia boleh diguna pakai oleh semua rakyat di negeri menjelang tahun depan kerana semua sedia maklum keadaan geografi Perak yang agak luas,” katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain ketika berucap berkata sambutan Hari Pos Sedunia semalam adalah bagi memperinga­ti dan menghargai seluruh warga kerja pos khususnya posmen yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk memastikan setiap surat atau bungkusan sampai kepada penerima dengan selamat.

“Syabas dan tahniah kepada SKMM dan Pos Malaysia di sini atas usaha meraikan sambutan ini dan difahamkan pelbagai aktiviti telah dirancang. Sambutan seumpama ini akan dapat meningkatk­an profil perkhidmat­an Pos dalam kalangan pengguna dan orang ramai,” katanya.

Pada majlis itu, Pengurus Cawangan Pejabat Pos Besar Ipoh, H.S Karamjit Kaur yang telah berkhidmat selama 26 tahun bersama Pos Malaysia menerima Anugerah Pekerja Terbaik Niaga manakala seorang kurier Pusat Pos Laju Parit Buntar Khairul Anuar Harun menerima Anugerah Pekerja Terbaik Laju. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia