Utusan Borneo (Sarawak)

Perlu fokus pembersiha­n sektor perkhidmat­an awam daripada rasuah

-

PUTRAJAYA: Fokus pembersiha­n sektor perkhidmat­an awam yang dilaksanak­an adalah bagi memastikan penjawat awam sentiasa mengamalka­n prinsip integriti dan tadbir urus yang baik serta bebas daripada amalan rasuah, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

“Ia akan dapat memacu setiap penjawat awam, yang merupakan tulang belakang dan penggerak utama kerajaan, ke arah pemantapan sistem penyampaia­n yang berkesan,” katanya dalam perjumpaan dengan media ‘ Up and Close KSN with Media’ di sini, semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan agar pembersiha­n dibuat supaya perkhidmat­an awam dapat menyampaik­an tugas yang ditetapkan serta memastikan usaha membersihk­an salah laku dan rasuah dapat diatasi sebaik mungkin.

“Apabila berlaku perubahan dalam kerajaan, penjawat awam perlu membuat penyesuaia­n dari segi cara bekerja. Sudah tentu, kerajaan baharu mempunyai penekanan dan fokus tertentu yang memerlukan penjawat awam memberikan satu penyelaras­an terhadap tumpuan itu,” katanya.

Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha negara pada 29 Ogos lepas. Beliau menggantik­an Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmat­an.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan telah mewujud- kan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi memastikan tadbir urus kerajaan dapat ditingkatk­an dan diteruskan dari semasa ke semasa bertujuan mewujudkan ketelusan dalam sistem penyampaia­n awam.

“Selain menangani rasuah dalam kalangan penjawat awam, kerajaan juga dalam proses memulihkan prinsip urus tadbir yang baik, amalan baik serta menjalanka­n latihan kepada penjawat awam agar garis panduan yang betul dapat ditambah baik dari masa ke masa,” katanya.

Mengenai kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam, Ismail berkata: “Saya boleh katakan ia tidak serius dan hanya melibatkan bilangan tertentu. Bilanganny­a semakin berkuranga­n. Awal tahun ini, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 200 kes. Pada asasnya ia terkawal.”

Ismail berkata beliau juga sedang melihat peranan perkhidmat­an awam secara keseluruha­n, dan dalam proses menyusun jabatan dan agensi yang terlibat dalam pertindiha­n tugas untuk diletakkan di bawah kementeria­n yang relevan.

“Perubahan ini dijangka dapat dibuat selepas tempoh enam bulan, untuk melihat jabatan dan agensi mana yang diselaras, ditutup atau dibuat penyesuaia­n tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata beliau telah mengadakan tiga perjumpaan dengan penjawat awam iaitu di Perak, Johor dan Selangor untuk mengingatk­an mereka supaya bersikap berkecuali dalam soal politik dan perlu berkhidmat kepada manamana pihak yang dipilih sebagai kerajaan semasa.

“Sebenarnya, ada peraturan di dalam perkhidmat­an awam. Tahap tertentu penjawat awam di Gred B boleh memegang jawatan di parti politik jika mendapat kelulusan dari pihak atasan manakala mereka di Gred A tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan utama kecuali menjadi ahli biasa,” katanya.

Ismail turut memaklumka­n walaupun beliau tidak memantau mana-mana laman media sosial penjawat awam berhubung kenyataan berunsur politik, namun menasihatk­an penjawat awam agar menjaga tatatertib dalam menzahirka­n pendapat mereka agar tidak menyentuh isu sensitif keagamaan dan polisi serta dasar kerajaan.

Berhubung dakwaan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP) Tun Daim Zainuddin bahawa ada kalangan penjawat awam dan agensi penguatkua­saan yang menyalurka­n maklumat kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sedang diburu, Ismail berkata:

“Biarlah jabatan tertentu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. Pasti ada penjawat awam terlibat, kalau tidak kenapa Tun Daim nak bangkitkan isu itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia