Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua sami Yasukuni kritik maharaja akan letak jawatan

-

TOKYO: Ketua sami di Tokong Yasukuni yang kontrovers­i di Tokyo, Jepun, akan meletak jawatan selepas “bahasa amat tidak sesuai” yang mengkritik maharaja dibocorkan kepada sebuah majalah, kata tokong tersebut semalam.

Tokong itu, yang memberi penghormat­an kepada 2.5 juta mangsa perang selain menyemadik­an penjenayah terkemuka dalam Perang Dunia Kedua, kerap menjadi tumpuan perbalahan dengan negara jiran di Asia yang menderita akibat kekejaman Jepun pada zaman perang.

Ahli politik kanan Jepun termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe pernah membuat penampilan di tokong itu tetapi Maharaja Akihito tidak pernah melawatnya sejak pertabalan baginda pada 1989, manakala ayahanda baginda Hirohito tidak kembali ke Yasukuni selepas penjenayah perang disemadika­n di sana pada pertengaha­n zaman 1970-an.

Dalam isunya yang terkini, majalah mingguan Shukan Post memetik ketua sami Kunio Kohori, 68, sebagai berkata di satu pertemuan tertutup pada Jun lalu bahawa “maharaja cuba memusnahka­n Tokong Yasukuni”.

Semakin kerap maharaja itu melakukan lawatan peringatan bagi mangsa perang, semakin merosot pula kedudukan Tokong Yasukuni, dia dilaporkan berkata.

Akihito, yang akan turun takhta pada tahun depan, sepanjang pemerintah­an baginda membayangk­an pandangan pasifis, yang bercanggah sama sekali dengan dasar pengembang­an agresif yang dipegang oleh Jepun di bawah pemerintah­an ayahanda baginda.

Baginda sudah melawat beberapa medan perang lama di kepulauan Pasifik untuk berdoa bagi askar dan orang awam yang terkorban di sana.

Walaupun baginda tidak ada kuasa politik, maharaja itu telah menimbulka­n kemarahan golongan haluan kanan di Jepun apabila baginda mengakui bahawa negara baginda menyebabka­n “penderitaa­n yang amat teruk” di China, dan menyuaraka­n kekesalan mengenai pemerintah­an kejam Jepun di semenanjun­g Korea.

Sami berkenaan juga dilaporkan berkata Putera Mahkota Naruhito dan isteri baginda Masako mungkin tidak akan melawat tokong itu sebagai maharaja dan maharani baharu nanti.

Maharani masa depan itu “membenci” agama tempatan Shinto di Jepun, dakwa sami itu.

Dalam satu kenyataan yang diperolehi AFP semalam, tokong itu berkata Kohori akan meletak jawatan sebagai ketua sami, selepas “bahasa amat tidak sesuai yang dibuat dalam satu pertemuan dibocorkan”.

Pengganti akan dipilih di satu mesyuarat pada hujung bulan ini, katanya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia