Wujud lebih banyak stesen petrol mini, pasar raya mini di luar bandar: Chong

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen mencadangkan pengwujudan lebih banyak stesen petrol mini atau pasar raya mini di kawasan luar bandar.

Menurut Chong, ia dilihat lebih berkesan dalam membantu kerajaan menjimatkan kos hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM90 juta bagi tujuan subsidi pengangkutan melibatkan barangan penting seperti tepung, gula dan petrol ke kawasan luar bandar Sarawak.

“Meskipun kerajaan menyediakan subsidi bagi kos pengangkutan, tetapi barangan penting seperti di atas masih dijual pada harga yang mahal di luar bandar.

“Malah ada penghantar yang menyalahgunakan subsidi pengangkutan ini dengan membuat tuntutan sejumlah wang meskipun mereka tidak menghantar apa-apa barangan ke luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di Thian Court, Crown Square di sini kelmarin.

Tambah Chong, hasrat kerajaan ialah untuk membolehkan pengguna di kawasan luar bandar menikmati barangan pada harga yang sama di kawasan bandar.

Sebab itu, beliau mencadangkan supaya lebih banyak stesen petrol mini atau pasar raya mini diwujudkan di kawasan luar bandar seperti di Miri.

Pewujudan stesen petrol mini atau pasar raya mini ini juga katanya akan memudahkan pegawai dari kementeriannya memantau penjualan barangan terkawal pada harga terkawal.

Bercakap mengenai majlis makan malam tersebut, ia dianjurkan bagi mengumpul dana untuk parti.

Selain Chong, majlis makan malam tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin DAP Sarawak, Johor dan Selangor.

Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei, ADUN Pending Violet Yong, Ahli Parlimen Kluang Johor Wong Shu Qi dan Speaker DUN Selangor serta ADUN Sekinchan Ng Suee Lim.

SERONOK: Azmi (berdiri kiri), Nurul Farhani (duduk kiri) bergambar bersama kanak-kanak, guru dan ibu bapa Tabika KEMAS LAKIL A, B, C dan D semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.