Utusan Borneo (Sarawak)

DAP gubal kod etika untuk wakil rakyat

-

GEORGE TOWN: DAP sedang merangka kod etika bagi semua wakil rakyat parti itu dalam melaksanak­an tugas sebagai anggota kerajaan mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow berkata kod etika itu akan dijadikan sebagai garis panduan kepada mereka terutamany­a dalam aspek komunikasi dan etika sebagai wakil kerajaan.

Katanya beliau bersama dua lagi wakil rakyat DAP diberi tanggungja­wab untuk menggubal kod etika itu dan kini ia masih dalam proses untuk disiapkan.

“Sama ada memegang jawatan kerajaan mahupun wakil rakyat biasa memang ada perkara yang boleh, ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Misalnya menggunaka­n sumber kerajaan untuk aktiviti parti, itu perkara yang perlu dicegah.

“Tetapi apa yang berlaku di Melaka mungkin sekadar soal peribadi bagaimana kita menguruska­n dengan masyarakat. Saya rasa di Melaka mereka sudah melakukan apa yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 peringkat negeri Pulau Pinang di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban di sini semalam.

Chow berkata demikian ketika ditanya mengenai wakil rakyat DAP yang juga Exco Pertanian, Pembanguna­n Usahawan dan Industri Asas Tani negeri Melaka Norhizam Hassan Baktee yang didakwa bertindak kasar dengan penduduk Kampung Pulau Nibong di sini yang tular di media sosial barubaru ini.

Video berdurasi dua minit 27 saat melibatkan ADUN Pengkalan Batu itu bersikap kasar terhadap penduduk kampung dalam isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam, Melaka menjadi tular dalam laman media sosial, dan pada Rabu lepas (10 Okt) Norhizam serta Ketua Menteri Melaka Adly Zahari bagi pihak Kerajaan Negeri memohon maaf atas insiden itu.

Ditanya sama ada parti akan memanggil Norhizam, Chow berkata: “DAP tidak ada rancangan untuk panggil (Norhizam). Dia sudah memohon maaf dan ketua menteri Melaka pun sudah memberi nasihat, saya rasa cukuplah”.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2018, Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata penganjura­n Hari Sukan Negara dapat memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya untuk menjadikan sukan sebagai satu budaya sekali gus mengamalka­n gaya hidup sihat.

“Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakk­an rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif memandangk­an peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus sahaja berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia