Utusan Borneo (Sarawak)

Pembinaan MRT2 berjalan seperti biasa meskipun kontrak dinilai semula

-

KUALA LUMPUR: Pekerja MMC- Gamuda KVMRT meneruskan kerja mereka seperti biasa membina bahagian bawah tanah Laluan 2 Transit Aliran Berkapasit­i Tinggi (MRT2) meskipun projek itu berdepan dengan rasionalis­asi kos oleh kerajaan.

Muadh Mohd Nazlee, salah seorang jurutera projek itu berkata, buat masa ini mereka tidak menghirauk­an sebarang khabar angin mengenai projek tersebut dan memutuskan untuk terus bekerja seperti biasa sehingga pengumuman selanjutny­a dibuat.

“Apa juga keputusann­ya, kami masih perlu meneruskan kerja dan melakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Muadh berkata, para pekerja, termasuk kakitangan Tunnelling Training Academy (TTA) lega dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa kabinet akan mengkaji semula keputusan untuk menawarkan semula tender bahagian bawah tanah projek itu yang belum siap dan menubuhkan satu ja- watankuasa bagi mengkaji semula kontrak tersebut.

Pada 7 Okt, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kabinet memutuskan untuk menamatkan kontrak MMC- Gamuda membina bahagian bawah tanah projek MRT2 dan menawarkan semula tender kerja bawah tanah yang belum disiapkan menerusi tender terbuka.

Beliau berkata projek MRT2 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada kos asal bagi bahagian atas tanah projek tersebut, susulan pelaksanaa­n tender terbuka.

Bagaimanap­un, MMCGamuda berkata hampir 20,000 pekerja daripada rantaian bekalan kira-kira lebih daripada 600 syarikat Malaysia akan hilang pekerjaan mereka dengan penamatan kontrak itu.

Lim sebagai reaksinya kepada perkara itu memberi jaminan kontrak bawah tanah MRT2 akan diteruskan tetapi diberikan menerusi tender terbuka pada kos yang lebih rendah.

Muadh berkata para pekerja menyambut baik keputusan kerajaan itu dan mengharapk­an yang terbaik bagi setiap pihak yang terlibat dan berharap MMC-Gamuda kekal sebagai kontraktor utama.

“Kami berharap pengurusan kami boleh memberikan tawaran terbaik mereka dan kedua-dua pihak boleh mencapai situasi sama-sama menang. Pendek kata, semua kami di sini masih berharap dan berdoa ia dapat dirundingk­an semula,” katanya.

Sementara itu, empat menteri, termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, yang dika- takan menjadi ahli jawatankua­sa itu akan meneliti semula kontrak bawah tanah MRT2.

Azmin berkata jawatankua­sa itu akan mula menilai semula kontrak itu tidak lama lagi “kerana kami tidak mahu menangguhk­an projek tersebut” dan mahu membuat keputusan “secepat mungkin”.

Beliau juga memberi jaminan perbincang­an akan mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi pekerja yang terlibat.

Sementara itu MMC- Gamuda berjanji untuk mengambil pendekatan terbuka sekiranya rundingan baharu diadakan.

Ia memaklumka­n bahawa 70 peratus daripada tenaga kerja, terutamany­a pekerja mahir dan separa mahir adalah orang tempatan, yang mana 60 peratus daripadany­a Bumiputera.

Bukan hanya pekerja yang akan terjejas sekiranya kontrak itu ditamatkan, malah mereka yang berada di bawah program TTA MMC-Gamuda juga akan turut terkesan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia