Tangani isu CBRNe perlu kerjasama semua pihak
SANDAKAN: Menangani situasi bencana menggunakan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) harus mendapat kerjasama padu daripada semua agensi sama ada kerajaan, swasta atau NGO yang terlibat.
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain berkata dalam menangani isu berkenaan, semua pihak yang terlibat diharap dapat memahami antara satu sama lain dan membina kerjasama yang padu antara agensi.
“Walaupun isu ‘terrorism’ atau ‘CBRNe’ ini adalah agak asing bagi masyarakat kita, tetapi kita harus akur bahawa ia adalah penting untuk mempelajari dan menguasai pengetahuan baharu ini.
“Kita haruslah berada setapak ke hadapan dalam menangani isu-isu yang berbentuk global ini bagi membolehkan kita menangani bencana yang melibatkan ‘CBRNe’ ini dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus CBRNe 2018 di Kolej ILKKM (Kejururawatan) di sini, petang Khamis.
Hamsan berkata oleh kerana kedudukan strategik pantai timur Sabah yang berdekatan dengan Filipina, kawasan Sandakan merupakan salah satu daripada sempadan yang senantiasa di dalam radar yang dipantau oleh pihak berkuasa berkaitan dengan isu ‘terrorism’.
Jelasnya, jika dahulu serangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat dengan objek kasar, misalnya pedang dan senjata api, tetapi sebenarnya banyak lagi teknik-teknik halus yang dapat digunakan oleh mereka ini bagi mendatangkan kepada keburukan.
“Sebagai contoh, sesiapa sahaja boleh menggunakan serbuk bedak dan melepaskannya kepada orang ramai dengan memberikan amaran bahawa ianya adalah serbuk ‘anthax’.
“Walaupun kesan fizikal tidak kelihatan kepada sesiapa yang terkena serbuk bedak ini, akan tetapi kerana panik, orang ramai akan berpusu-pusu ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ini boleh menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas,” katanya.
Malah bukan itu sahaja, pusat kegiatan ekonomi juga mungkin terhalang sekiranya berlaku di dalam pasar raya kerana gedung itu terpaksa ditutup untuk dikaji selidik oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Oleh sebab itu, saya katakan bahawa ‘CBRNe threat’ ini adalah satu bencana yang harus ditangani oleh pelbagai pihak di era moden ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Selayang Dr Sakinah Alwi dalam ucapannya berkata dalam menangani isu bencana terutamanya yang melibatkan CBRNe, setiap agensi sama ada daripada kerajaan, swasta atau NGO haruslah bekerjasama untuk mendapatkan ‘outcome’ yang positif.
“Sekiranya kita dapat membina satu ‘link’ menghubungkan kerjasama yang erat ini, saya pasti kelancaran dalam berdepan dengan isu ‘terrorism’ ini dapat diatasi dengan mudah.
“Setiap satu antara kita haruslah cuba memahami kelebihan- kelebihan dan kekangan- kekangan yang dimiliki oleh setiap satu badan atau organisasi yang terlibat,” katanya menambah, seterusnya latihan berkala antara agensi haruslah dilakukan untuk melihat sejauh mana polisi/ pelan tindakan yang dirancangkan itu dapat dilaksanakan di semua peringkat.