Utusan Borneo (Sarawak)

KPM perlu selesai segera isu sekolah daif, kekurangan guru Bahasa Iban

-

KUCHING: Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyelesai­kan segera isu sekolah daif dan kekurangan guru subjek Bahasa Iban di Sarawak.

Naib Pengerusi Pemuda Sosialis Sarawak merangkap Pengerusi Protem DAP Bukit Goram Larry Asap berkata isu ini telah diutarakan oleh delegasi pemimpin DAP Sarawak ketika kunjungan hormat terhadap Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada 9 Oktober lepas.

Di Sarawak kata Larry, isu sekolah daif adalah isu yang hangat dan walaupun Sarawak telah menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan persekutua­n namun tiada perubahan ketara dapat dilihat dalam penambahba­ikan ke atas kemudahan asas di sekolah-sekolah Sarawak.

“Sarawak telah menerima sejumlah besar peruntukan pada tahun 2014 hingga 2016 bagi tujuan memperkasa­kan lagi bidang pendidikan di negeri ini.

“Persoalann­ya, bagaimana peruntukan ini diuruskan dan kerajaan persekutua­n yang baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) harus meneliti dan menyiasat jika berlaku salah guna kuasa dan penyelewen­gan dana pendidikan yang diterima Kerajaan Sarawak daripada kerajaan perseku- tuan terdahulu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Larry, di DUN Bukit Goram, terdapat beberapa sekolah yang masih belum mendapat bekalan air bersih.

Sumber air para pelajar asrama adalah sungai, air tadahan hujan dan air paip graviti yang tidak bersih dan boleh mendedahka­n pengguna kepada bahaya penyakit.

Sehubungan itu beliau telah mencadangk­an kepada Kementeria­n Pendidikan supaya tangki air ‘Life Saver’ dibekalkan kepada setiap sekolah yang tidak dibekalkan dengan sumber air bersih terawat.

Berhubung isu kekurangan guru Bahasa Iban pula, Larry berkata beliau telah mencadangk­an kepada Timbalan Menteri Pendidikan agar graduan berbangsa Iban, lulusan ijazah pendidikan daripada institusi pendidikan kerajaan dan swasta dipanggil untuk proses temu duga dan diserap masuk bagi mengisi kekosongan guru Bahasa Iban seramai 2,240 orang.

Cadangan itu katanya, adalah selaras dengan manifesto PH yang berhasrat mewujudkan kursus berkaitan bahasa dan budaya tempatan yang akan diwujudkan di universiti-universiti awam di Sabah dan Sarawak.

 ??  ?? KUNJUNGAN: Larry (tiga kanan) bersama pemimpin DAP Sarawak yang lain mengadakan kunjungan hormat terhadap Teo (empat kanan) di Putrajaya. Turut kelihatan Naib Pengerusi DAP Sarawak Leon Jimat Donald (kanan).
KUNJUNGAN: Larry (tiga kanan) bersama pemimpin DAP Sarawak yang lain mengadakan kunjungan hormat terhadap Teo (empat kanan) di Putrajaya. Turut kelihatan Naib Pengerusi DAP Sarawak Leon Jimat Donald (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia