Utusan Borneo (Sarawak)

Mentaliti pengguna harus berubah tangani isu barangan tiruan

-

KUALA LUMPUR: Serbuan oleh pihak berkuasa semata-mata tidak memadai bagi memerangi masalah penjualan produk tiruan, kata Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Low Swee Hon.

Sebaliknya, pengguna sendiri perlu memupuk mentaliti menghormat­i hak cipta pemilik cap dagangan yang berdaftar secara sah dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), katanya.

Beliau tidak menafikan Malaysia kadangkala dianggap sebagai ‘syurga’ membeli-belah barangan tiruan oleh pelancong tempatan dan asing.

Terdapat ramai peniaga tempatan dan warga asing yang terlibat dalam salah laku menjual barangan tiruan walaupun ada antara mereka yang memiliki lesen perniagaan sah, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini semalam.

Penjual barangan tiruan terutamany­a topi, cermin mata, kemeja-T dan aksesori telefon bimbit tumbuh umpama cendawan selepas hujan setiap kali selepas pihak berkuasa mengadakan serbuan.

“Serbuan sentiasa dilakukan di kawasan-kawasan ‘hotspot’ (titik panas) hampir setiap minggu oleh pihak KPDNHEP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan jumlah serbuan terkumpul dari Januari sebanyak 104 kali dengan nilai sitaan hampir RM 2.7 juta tetapi nampaknya seperti tidak berkesudah­an,” kata beliau.

Menurutnya, selagi ada permintaan daripada peng- guna maka selagi itulah akan wujud penjualan barangan tiruan dalam pasaran kerana harganya yang murah dan reka bentuk yang menyamai barangan asal.

“Harga murah yang ditawarkan bagi produk-produk tiruan dan reka bentuk yang cantik antara penyebab pengguna lebih memilih untuk membelinya berbanding barangan ‘ original’ ( asli), dan kebanyakan barangan ini datang dari luar negara antaranya dari China dan Thailand,” kata Sew Hoon.

Beliau juga berkata, walau- pun kompaun yang dikenakan terhadap pesalah yang terbabit kesalahan menjual barangan tiruan agak tinggi tetapi selagi ada permintaan, maka selagi itulah isu itu sukar dibanteras.

“Di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011, bagi kes membabitka­n syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd) pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang dirampas (kesalahan pertama), dan denda tidak melebihi RM30,000 bagi kesalahan kedua.

“Manakala bagi kesalahan persendiri­an, denda biasanya tidak melebihi RM10,000 ataupun penjara tiga tahun maksimum, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, pihak KPDNHEP akan mengadakan perjumpaan dengan DBKL dalam masa terdekat bagi membincang­kan tindakan dan hukuman terhadap peniaga yang mempunyai lesen perniagaan sah tetapi menyalahgu­nakannya untuk menjual barangan tiruan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia