Utusan Borneo (Sarawak)

Ikut garis panduan atau permit dibatalkan

-

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tidak menyekat penganjura­n sebarang karnival atau persembaha­n berbentuk hiburan di negeri itu tetapi pihak penganjur harus mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata ia satu prosedur standard kerajaan negeri jika pihak berkenaan mahu permit program yang dicadang, diluluskan.

“Kita bukan lulus semua persembaha­n yang hendak diadakan dan kita juga tidak menyekat semua, tetapi ia bergantung kepada garis panduan yang telah kerajaan telah tetapkan.

“Jika mereka patuh dengan syarat yang kita keluarkan, maka kita luluskan permit yang mereka mohon,” katanya mengulas pembatalan program hiburan Island Music Festival 2018 di Pulau Redang baru-baru ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemelihara­an Kelulut anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dengan kerjasama Institut Kemajuan dan Penyelidik­an Pertanian Malaysia (MARDI) di sini semalam.

Alias bagaimanap­un menegur sikap sesetengah penganjur yang terburu- buru mengiklank­an program mereka kepada orang ramai sebelum permit mengadakan persembaha­n dipohon dan diluluskan kerajaan negeri.

Katanya, sikap sedemikian akan memberi imej yang buruk kepada kerajaan negeri kerana kononnya telah meluluskan permohonan sedangkan permit belum diluluskan.

Tegasnya, setiap persembaha­n yang diluluskan­pun akan dipantau oleh pegawai berkenaan dan program akan dibatalkan serta-merta jika dilihat melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Mengenai pemelihara­an kelulut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu berharap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tunggal menjadi contoh kepada MPKK kawasan lain dalam perusahaan kelulut.

“Sebagai projek rintis, buat permulaan kita sasarkan setiap rumah MPKK mempunyai sebuah sarang kelulut untuk mendapatka­n madu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia