Utusan Borneo (Sarawak)

60 hektar sawah padi di Kerian ditenggela­mi air

-

BAGAN SERAI: Benih padi yang ditabur dalam kira-kira 60 hektar sawah padi di Kampung Parit Ali Kalang di sini, dua minggu lepas, dikhuatiri musnah ditenggela­mi air akibat banjir empat hari lalu.

Ketua Unit Peladang Bagan Serai/Beriah, Norpazli Samad, berkata pihaknya percaya 80 peratus benih padi berkenaan akan rosak akibat ditenggela­mi air jika ia masih tidak surut.

“Air banjir yang keruh ini menyukarka­n benih padi untuk tumbuh kerana padi memerlukan air yang jenih dan cahaya matahari jika tidak padi akan mati,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Parit Ali Kalang di sini semalam.

Terdahulu, Exco Kemudahan Awam, Infrustruk­tur, Pertanian dan Perladanga­n negeri Abdul Yunus Jamhari turut melakukan tinjauan sawah yang ditenggela­mi air banjir selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman di sini.

Norpazli berkata para petani telah membelanja­kan wang untuk membeli benih padi antara RM35 hingga RM38 bagi satu hektar sawah padi dan kejadian ini sekali gus merugikan mereka.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri akan menunggu hasil laporan kerugian para petani dari Jabatan Pertanian Daerah Kerian mengenai sawah padi yang terjejas akibat banjir di kawasan itu.

“Setelah mendapat laporan barulah saya akan berbincang dengan kerajaan negeri bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada petani terbabit dengan kerugian setelah sawah mereka dilanda banjir.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat masalah banjir yang mengancam tanaman padi,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaik­an bantuan segera kerajaan negeri berjumlah RM300 bagi setiap satu daripada sembilan keluarga membabitka­n Kampung Parit Ali Kalang, Parit Mat Keling dan Parit Air Hitam 3, selepas rumah mereka dinaiki air semasa banjir dan ditempatka­n di pusat pemindahan di SK Parit Haji Aman di sini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia