Utusan Borneo (Sarawak)

Kelantan dijangka terima hujan lebat November dan Disember

-

KOTA BHARU: Kelantan dijangka menerima hujan lebat pada bulan November dan Disember ini iaitu 45 peratus daripada 2,700 milimeter purata taburan hujan tahunan untuk tiga bulan terakhir tahun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembanguna­n) Kelantan Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharude­an Tengku Feissal berkata bagaimanap­un keadaan itu dijangka tidak mengakibat­kan banjir besar seperti yang berlaku pada 2014.

Beliau berkata walaupun data meteorolog­i dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukka­n baki jumlah purata taburan hujan tahunan ini agak membimbang­kan namun mereka yakin banjir tidak akan seteruk seperti bencana besar pada 2014.

“Sebaliknya keadaan mungkin sama seperti tahun lalu,” kepada pemberita selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Pengurusan Bencana negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Katanya, mengikut ramalan hujan lebat akan berlaku di kawasan pantai pada bulan November dan beralih ke kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Machang pada Disember.

Katanya, 607 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatka­n 198,000 mangsa banjir akan dibuka di seluruh Kelantan terutama sekitar jajahan Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas sebagai persediaan menghadapi banjir.

“Dari segi aset 207 bot disediakan selain 4,471 anggota keselamata­n daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM), polis, Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah dalam situasi bersiap siaga,” katanya.

Beliau berkata selain persiapan fizikal, pihaknya turut memohon supaya setiap masjid di Kelantan melakukan solat hajat dan berdoa supaya dijauhi musibah banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata pihaknya menerima RM1 juta peruntukan daripada kerajaan persekutua­n dan RM300,000 daripada kerajaan negeri untuk persediaan bekalan makanan serta keperluan di PPS sebagai persiapan menghadapi banjir tahun ini.

Beliau berkata sebahagian bekalan makanan akan mula dihantar ke 207 pangkalan hadapan, 17 mini depot dan satu depot besar mulai hujung bulan ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia