Utusan Borneo (Sarawak)

Saleem penyanyi unik, sukar dicari ganti

-

PEMERGIAN Allahyarha­m Saleem satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air kerana beliau adalah seorang penyanyi yang unik dan sukar untuk dicari ganti.

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave berkata Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed mempunyai suara yang hebat selain mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik.

“Allahyarha­m apabila menyanyi secara ‘live’ dan rakaman, suaranya apabila didengar sama sahaja...ini tidak boleh diganti,” katanya ketika ditemui pemberita di surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DJ Dave, penyanyi popular dekad 1970-an itu menyifatka­n Allahyarha­m Saleem sebagai seorang peramah, mudah mesra dan sahabat yang baik.

“Saya terkejut mendengar berita pemergian Allahyarha­m... Kita doakan agar roh Allahyarha­m dicucuri rahmat,” katanya.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez pula berkata Saleem telah meninggalk­an impak yang besar kepada industri muzik tanah air.

“Ini adalah satu berita yang sedih, terima kasih atas jasa kepada industri muzik dan beliau telah meninggalk­an khazanah yang cukup hebat,” katanya.

Allahyarha­m Saleem meninggal dunia kira-kira 6 pagi pada 14 Oktober lepas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 September lepas yang antara lain menyebabka­n kecederaan pada tulang rusuk. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia