Sokongan terhadap Macri menurun sejak Disember 2017
BUENOS AIRES: Sokongan terhadap Presiden Argentina, Mauricio Macri jatuh kepada 20 mata peratusan sejak Disember lalu, terutama sokongan daripada golongan kelas pertengahan.
Penurunan itu disebabkan isu kenaikan harga gas yang mana pengguna perlu membayar jutaan dolar untuk gas telah digunakan antara April hingga September tahun ini.
Di samping itu, pemotongan subsidi, pemberhentian pekerja dan penurunan nilai peso antara faktor mengundang kemarahan rakyat.
Menurut Pengarah Syarikat Isonomia Consultor, Pablo Knopoff sokongan daripada masyarakat kelas pertengahan terhadap Macri turun dari 60 hingga 40 mata peratusan.
Knopoff berkata golongan pertengahan antara paling terkesan akibat inflasi kerana golongan itu paling sedikit menerima manfaat sosial.
Sementara pengarah firma perundingan Aresco, Federico Aurelio berkata, penurunan sokongan didapati bermula sejak akhir Disember 2017, selepas Presiden Argentina itu memperkenalkan pembaharuan faedah pencen.
Ketika itu kerajaan meluluskan pemotongan US$ 4 juta untuk dana persaraan Argentina, mencetuskan bantahan besar- besaran, selain menyaksikan lebih 140 penunjuk perasaan cedera.
Lebih menarik lagi, penganalisis politik Marcos Novaro berkata kekurangan sokongan kerana rakyat sudah hilang harapan ke atas parti pimpinan Macri yang ditubuhkan pada 2015.
Macri dan parti sayap kanan Cambiemos dikatakan tidak mempunyai ideologi atau penyokong kuat.
“Hanya terdapat segelintir yang percaya kepada Macri, itu mungkin tidak membimbangkannya kerana beliau memperolehi kuasa tanpa pengalaman politik dan tidak mengharapkannya,” katanya. — Bernama