Utusan Borneo (Sarawak)

Kehilangan hasil cukai berasaskan kepengguna­an bersih RM17 bilion

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Kewangan berkata hasil kerajaan berkurang sebanyak RM21 bilion bagi 2018 apabila ia melaksanak­an kembali sistem Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) pada 1 Sept 2018 bagi menggantik­an Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST).

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Oleh itu, kehilangan hasil cukai berasaskan kepengguna­an bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi 2018,” katanya di sesi soal jawab di persidanga­n Dewan Rakyat semalam.

Lim menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ( BN- Bera) mengenai jumlah penguranga­n hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan serta strategi kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Beliau berkata, sebahagian daripada penguranga­n kutipan GST tersebut akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkata­n harga minyak mentah purata kepada AS$70 setong (Brent) berbanding andaian AS$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu, beliau berkata, terdapatny­a tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Bhd.

“Tambahan dividen ini adalah skali selaras dengan peningkata­n harga minyak mentah dunia pada 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018,” kata Lim.

Meskipun harga minyak mentah dunia berada di sekitar AS$70 setong, Lim berkata, peratusan hasil berkaitan petroleum kepada keluaran dalam negara kasar hanyalah di sekitar 3.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada 2009 di mana pada tahun tersebut harga minyak mentah dunia adalah AS$62 setong.

“Ini menunjukka­n bahawa kerajaan telah mengurangk­an kebergantu­ngan kepada hasil berkaitan petroleum,” kata beliau.

Di samping itu, Lim berkata, antara langkah-langkah lain bagi meningkatk­an hasil kerajaan persekutua­n adalah menerusi aktiviti audit dan siasatan yang berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatk­an pematuhan cukai dan mengurangk­an jurang cukai.

Kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu, terutama daripada aktiviti transaksi atas talian dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak yang minimum kepada penguranga­n hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

“Kerajaan turut melaksanak­an langkah rasionalis­asi perbelanja­an dengan menyusun semula keutamaan perbelanja­an serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.

“Selain itu, kerajaan turut merasional­isasikan fungsi jabatan, program dan projek bagi mengelak pertindiha­n serta meningkatk­an tadbir urus perolehan supaya lebih cekap dan telus,” kata Lim.

Lim berkata langkah ini dijangka memberi penjimatan keseluruha­n perbelanja­an sebanyak RM10 bilion.

Namun begitu, Lim berkata, kerajaan tetap komited terhadap manifesto Pakatan Harapan yang mana antara terasnya adalah untuk mengurangk­an beban kos sara hidup rakyat.

Dalam hal ini, harga petrol RON95 telah distabilka­n pada RM2.20 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter di mana langkah ini akan memberi penjimatan kepada rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi sebanyak RM3 bilion sehingga Disember tahun ini.

Di samping itu, beliau berkata, bantuan istimewa juga telah diberikan kepada setiap penjawat awam gred 41 dan ke bawah serta pesara jawatan awam yang melibatkan perbelanja­an kira-kira RM700 juta.

“Kerajaan akan terus memastikan pertumbuha­n ekonomi terus kukuh dalam mengimbang­i kedudukan kewangan dan paras hutang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia