Utusan Borneo (Sarawak)

Sektor pembuatan paling banyak menggaji pekerja asing

-

KUCHING: Komposisi penggajian pekerja asing di Malaysia sejak 10 tahun lalu tidak banyak berubah di mana sektor pembuatan masih lagi menjadi sektor utama paling banyak menggaji pekerja asing selain daripada sektor perladanga­n, pertanian dan pembinaan.

Ketua Setiausaha Kementeria­n Sumber Manusia Datuk Amir Omar berkata, pada 2008 jumlah pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS - berkemahir­an rendah) berdasarka­n rekod daripada Jabatan Imigresen Malaysia adalah 2.06 juta orang.

Sementara pada 2018 (maklumat sehingga 31 Ogos 2018), katanya jumlah pekerja asing yang memegang PLKS berkemahir­an rendah adalah 1.75 juta orang, iaitu penguranga­n sebanyak 312,242 orang dalam tempoh 10 tahun.

Beliau menambah, dari segi nisbah penggajian pekerja asing kepada jumlah penduduk bekerja, pada 2008 jumlah tersebut mewakili 19.3 peratus dan pada 2018 nisbah penggajian pekerja asing kepada jumlah penduduk bekerja adalah 11.7 peratus iaitu penurunan sebanyak 7.6 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Pada tahun 2008, daripada jumlah 2.06 juta pekerja asing ini sebanyak 35.3 peratus bekerja dalam sektor pembuatan, 25.3 peratus dalam sektor pertanian dan perladanga­n, 14.9 peratus bekerja dalam sektor pembinaan, 10.3 peratus dalam sektor perkhidmat­an dan 14.2 peratus sebagai pembantu rumah.

“Manakala pada 2018 daripada 1.75 juta pekerja asing, sebanyak 37.1 peratus bekerja dalam sektor pembuatan, 17.8 peratus dalam sektor pembinaan, 15.8 peratus dalam sektor perladanga­n, 13.7 peratus dalam sektor perkhidmat­an, 8.5 peratus dalam sektor pertanian dan 7.16 peratus sebagai pembantu rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Town Hall Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia anjuran Jawatankua­sa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Bagi Sarawak pula, Amir berkata berdasarka­n statistik yang dikeluarka­n Jabatan Tenaga Kerja Sarawak sehingga Jun 2018, jumlah Pekerja Bukan Pemastauti­n adalah seramai 139,781 orang dan jumlah ini tidak termasuk pegawai dagang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia