Utusan Borneo (Sarawak)

313 individu ditahan dalam operasi khas dadah di Selangor

-

PELABUHAN KLANG: Polis Selangor berjaya memberkas seramai 313 individu kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kes berkaitan dadah, dalam satu operasi khas ‘Ops Mega Sarang’ di sekitar negeri ini semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata operasi serentak selama sembilan jam bermula jam 4 pagi itu dibuat dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Operasi ini dibuat serentak di beberapa lokasi seluruh Selangor termasuk di daerah Pelabuhan Klang, Shah Alam dan Kajang.

“Antara yang ditahan ialah dua wanita tempatan dan 11 warga asing berusia lingkungan 20 ke 50 tahun yang akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya ( ADB) 1952,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi itu di satu lokasi di sini.

Beliau berkata antara kes yang direkodkan adalah bagi kesalahan memiliki dadah, ujian saringan air kencing yang positif dan menagih (dadah).

Katanya, operasi tersebut membabitka­n rampasan heroin seberat 109.69 gram, syabu (171.77 gram), ganja ( 16.62 gram), air ketum (28,731 ml) dan daun ketum (13,005 gram).

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menyita dua buah kereta dan tiga buah motosikal.

Mazlan dalam pada itu berkata sepanjang tempoh 1 Jan hingga 14 Okt lepas, pihaknya telah menahan 1,488 individu di bawah kes penyalahgu­naan dadah dalam Ops Sarang di seluruh Selangor.

“Polis juga berjaya menangkap seramai lapan orang pembekal dadah yang kini telah diambil tindakan di bawah Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Operasi khas ini adalah berterusan dan kita akan mempergiat lagi serbuan dan tangkapan dari semasa ke semasa bagi membantera­s aktiviti penyalahgu­naan dadah,” tambahnya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BANTERAS: Golongan penagih dadah yang ditahan dalam operasi Mega Ops Sarang 2018 di Pelabuhan Klang, semalam. Turut hadir dalam operasi tersebut Mazlan.
— Gambar Bernama BANTERAS: Golongan penagih dadah yang ditahan dalam operasi Mega Ops Sarang 2018 di Pelabuhan Klang, semalam. Turut hadir dalam operasi tersebut Mazlan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia