MQA terima 615 program DVM bagi penilaian akreditasi sejak Jun 2016
KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menerima sebanyak 615 program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) oleh Kolej Vokasional (KV) bagi penilaian akreditasi sejak Jun 2016.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu sebanyak 510 program atau 83 peratus telah mendapat akreditasi sementara.
“Sebanyak 428 program telah diterima untuk penilaian akreditasi dengan 12 program DVM oleh KV mendapat akreditasi penuh manakala 54 program dalam proses memenuhi syarat-syarat untuk akreditasi penuh.
“Sebanyak 362 program pula sedang menjalani proses penilaian dan perlu mematuhi syarat-syarat bagi mendapat akreditasi penuh yang dijangka selesai pada pertengahan tahun 2019,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PHPermatang Pauh) mengenai statistik kemasukan pelajar ke KV dari 2013 sehingga kini dan sasaran kementerian untuk menyelesaikan isu akreditasi persijilan graduan kolej vokasional bersama MQA sehingga menyebabkan mereka (pelajar) terkandas.
Bagi enrolmen pelajar program KV pula, katanya, sebanyak 15,916 memasuki program KV pada 2013, 2014 (18,022), 2015 (17,544), 2016 (12,875), 2017 (16,728) dan 2018 (14,243).
“Lulusan DVM boleh menyambung pengajian ke program ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam ( IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta ( IPTS) tertakluk kepada kelulusan Senat IPTA dan IPTS dan mengambil kira penyetaraan Sijil Vokasional Malaysia dengan tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia seperti yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Teo berkata kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA) bagi membolehkan lebih ramai pemegang DVM memasuki sektor perkhidmatan awam. — Bernama