Utusan Borneo (Sarawak)

Tekanan hutang dorong sekeluarga terjun sungai

-

KANGAR: Tekanan perasaan akibat hutang mendorong satu keluarga dari Sungai Petani Kedah terjun ke dalam Sungai Arau di sini.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamad berkata perkara ini menjawab misteri penemuan mayat tiga sekeluarga di Sungai Tambun Tulang dan Sungai Arau kelmarin.

Mayat Baharom Ahmad, 66, ditemukan di pintu tali air Sungai Tambun Tulang, di Simpang Empat, isterinya Norma Pin, 64, di Sungai Tambun Tulang dan anak mereka Norzalina, 35, ditemukan di Sungai Arau berhampira­n Kampung Belat Batu. Ketiga- tiga mereka dipercayai lemas antara jam 8.35 pagi dan 12.10 tengah hari kelmarin.

Noor Mushar berkata misteri penemuan itu terjawab hasil keterangan anak lelaki keluarga itu, Mohd Zali, 37, yang mengaku terjun ke dalam Sungai Arau bersama keluargany­a pada jam 2.45 pagi Rabu, tetapi mengubah fikiran di saat akhir dan berenang ke tebing sungai, manakala ayah, ibu serta adiknya hanyut dibawa arus.

Beliau berkata Mohd Zali yang tiada pekerjaan tetap, kemudian pulang ke Sungai Petani dengan menaiki kereta api di Arau pagi kelmarin dan ditahan malam kelmarin hasil maklumat orang ramai.

Noor Mushar berkata keempat-empat beranak itu menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Arau pada pagi hari Selasa dan kemudian menaiki teksi ke Kampung Bakong.

Menurut Mohd Zali mereka memilih Kampung Bakong kerana ia adalah kampung asal ibunya.

Noor Mushar berkata barangan peribadi keluarga itu antaranya satu bentuk cincin, satu telefon bimbit, beg tangan, baju dan ubat ditemui di bawah jejambat lebuh raya Kuala Perlis-Changlun pada jam 4.40 petang kelmarin.

Polis juga menemui kesan orang tergelinci­r ke dalam sungai di tempat barang-barang itu ditemui. Polis semalam mendapat perintah menahan reman Mohd Zali selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia