Utusan Borneo (Sarawak)

Saya hadir beri sokongan kepada sahabat: Najib

-

KUALA LUMPUR: “Saya hanya hadir untuk memberi sokongan moral kepada sahabat (Ahmad Zahid),” demikian kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang tiba pada jam 9.17 pagi berpakaian batik ungu bercorak bunga, terus meluru masuk ke pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembang­an pendakwaan terhadap presiden UMNO dan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dilihat meninggalk­an kompleks mahkamah pada kira-kira jam 9.50 pagi menaiki kenderaan berwarna putih.

Antara pemimpin tertinggi UMNO yang hadir untuk menunjukka­n solidariti terhadap Ahmad Zahid ialah timbalan presidenny­a Datuk Mohamad Hasan, naib presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada jam 3.15 petang kelmarin berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam membenarka­n dia diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.

Sementara itu, para penyokong Ahmad Zahid cuba merempuh masuk pagar utama pekarangan kompleks mahkamah.

Namun, tindakan mereka dapat dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutua­n (FRU) yang mengawal rapi kedua-dua pagar kompleks mahkamah itu.

Sumber polis memberitah­u Bernama, tahap keselamata­n di pekarangan kompleks ketika ini terkawal dan meminta penyokong Ahmad Zahid mematuhi arahan ketika berada di kawasan mahkamah.

Kumpulan berbaju merah diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menenangka­n semua penyokong dan meminta mereka duduk di tengah laluan ke pintu pagar masuk kompleks. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia